UCAPAN AIDILFITRI 2009 KETUA WANITA KEADILAN- YB PUAN HJH ZURAIDA KAMARUDDIN

Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh.

 اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Maha suci Allah, Tuhan yang menciptakan seluruh umat manusia, dan melimpahkan kenikmatan Iman dan Islam kepada kita semua. Alhamdulillah, pada tahun ini kita berkesempatan lagi untuk meraikan Syawal yang mulia, selepas bulan Ramadhan mengasuh diri kita untuk rapat dengan Al-Quran serta menyemarakkan lagi jihad dalam melaksanakan seluruh ajaran Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan madrasah Ramadhan yang baru kita tinggalkan memberi kesan yang cukup bermakna sebagai bekalan menjalani kehidupan selepas ini.

Ambillah peluang terbaik pada kesempatan hari yang mulia ini untuk saling mengunjungi dan bermaaf-maafan serta mengeratkan silaturrahim sesama keluarga, kenalan dan jiran. Raikanlah bulan kemenangan ini dengan memperbanyakan ibadah dan amalan kita sebagai tanda mensyukuri nikmatNya.

Saya juga mengambil kesempatan di hari yang mulia ini untuk menyeru agar umat Islam khususnya di Malaysia untuk kembali mendalami dan memahami ajaran dan tarbiyyah Islam yang sebenar dari kaca mata Al-Quran dan Sunnah. Iaitu bahawa Islam ini adalah syumul dan diperturunkan kepada umat manusia seluruhnya, dengan mengangkat toleransi dan mengutamakan hikmah dalam perlaksanaan dakwah, syariah dan segala perihal urusan sesama manusia. Tidak pernah Islam itu bersikap zalim dan menghina apatah lagi memecah belahkan perpaduan masyarakat dari kalangan penganut yang berbeza fahaman agamanya. Allah s.w.t mengangkat darjat hambaNya dengan ukuran Iman bukan kekayaan, pengaruh apatah lagi kaum dan bangsanya. Jauhilah diri kita daripada menjadi pejuang Asobiyah. Jangan terperangkap dengan jerat perkauman yang membawa derita dunia akhirat. Ingatlah sebuah hadis daripada Jabir bin Mut’im:

قال الرسول e : لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ ولَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ على عَصَبِيَّةٍ و لَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ على عَصَبِيَّةٍ

Maksudnya: Bukan daripada golongan kami sesiapa yang menyeru kepada asobiyah, bukan daripada golongan kami sesiapa yang berjuang atas dasar asobiyah dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang mati atas dasar asobiyah.

Oleh itu, perkukuhkanlah perpaduan kita sesama masyarakat dengan meletakkan keadilan pada tempatnya yang haq. Saya ingin turut mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak terutama sekali para pengundi di kawasan Ampang, Ahli-ahli EXCO Wanita Parti Keadilan Rakyat, Ahli-ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti, Jabatan-jabatan Kerajaan, pihak media dan kesemua pihak yang telah memberi kerjasama terbaik mereka.

Akhir kata, saya selaku Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat dan juga Ahli Parlimen Ampang ingin mengucapkan Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada kesemua rakyat Malaysia. Mudah-mudahan cahaya Syawal pada tahun ini dapat menyerikan dan menambah erat hubungan sesama kita. Sekiranya terdapat keterlanjuran kata ataupun perbuatan yang tidak disengajakan, saya menyusun jari memohon kemaafan daripada semua. Sekian, terima kasih.

“Kullu ‘Am Wa Antum Bi Khair”

HJH ZURAIDA KAMARUDDIN

Ketua Wanita KEADILAN/Ahli Parlimen Ampang

RODZIAH ISMAIL LODGING POLICE REPORT VIDEOs

RODZIAH ISMAIL

In support of Rodziah Ismail, NURIDAH SALLEH (Ketua Muslimat PAS)

In support of Rodziah Ismail, HANNAH YEOH (DAP)

MPs, Aduns, leaders of Pakatan Rakyat and Cuncillors

Kenyataan Media: Rodziah Ismail

Kenyataan Media

ADUN BATU TIGA
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita,
Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan,dan
Timbalan Ketua Wanita KEADILAN

Shah Alam, 11 September 2009 : Hari ini saya membuat laporan polis terhadap ugutan rogol yang dilemparkan kepada saya ketika dalam Majlis Dialog di antara penduduk Seksyen 23, Shah Alam dengan Kerajaan Negeri Selangor pada 5hb September lalu di MBSA, Shah Alam.

Adalah bukan hasrat saya untuk memanjangkan isu ini kerana fokusnya adalah isu sebenar yakni pemindahan kuil Seksyen 19, namun keputusan ini dibuat setelah hampir seminggu berlalu kerana kegusaran tentang keselamatan diri saya, keluarga serta pegawai saya makin hari makin bertambah memandangkan pihak polis belum lagi mengambil sebarang tindakan dalam perkara ini.

Saya telah hadir sebagai salah seorang panel dan wakil rakyat Dun Batu Tiga bagi menyelesaikan isu pemindahan kuil, namun telah menerima kata-kata kesat dan ugutan rogol daripada mereka yang cuba menimbulkan kekecohan dalam majlis tersebut.

Antara kata-kata kesat terhadap saya yang dikenalpasti ialah;

“Jalang!”
“Rodziah mengalahkan pelacur!” “Pelacur lebih baik dari kau!”
“Babi!”
“Sundal!”
“Kau jangan bersuara, Rodziah!”
Lemparan kata,”Aku akan rogol kau, Rozdiah!”

Intimidasi ini jelas adalah untuk memburukkan nama dan menghina saya. Saya berasa amat kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh segelintir mereka ini sehingga merasakan keselamatan dan kehormatan diri saya terancam.

Kerisauan saya ialah: jika saya seorang Adun dan EXCO Kerajaan Negeri boleh dilemparkan kata-kata kesat and ugutan sebegini, apakah wanita-wanita lain akan terasa selamat menghadapi atau berurusan dengan mereka yang seperti itu?

Kekecohan yang ditimbulkan sepanjang sesi penerangan daripada Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Dato’ Bandar dan saya sendiri selaku ADUN Batu Tiga juga memperlihatkan sikap tidak hormat kepada majlis tersebut serta pemimpin kerajaan negeri.

Kelakuan liar kumpulan kecil ini telah merosakkan majlis yang bertujuan untuk membuka ruang kepada penduduk berdialog secara berhemah. Tindakan mereka ini jelas bukan untuk berdialog tetapi mencemarkan kerajaan negeri dan nama individu atas agenda politik tertentu.

Selain klip video, ungkapan-ungkapan tidak bermoral itu telah didengar dan disaksikan oleh ramai penduduk, wartawan, dan para petugas keselamatan MBSA yang telah hadir melihat sendiri gelagat segelintir mereka yang memporak-perandakan majlis secara sengaja.

Kedurjanaan yang menganjur keburukan, membudayakan unsur keganasan, seksisme, dan menakut-nakutkan orang lain serta merosakkan keharmonian sesama insan yang telah ditunjukkan oleh golongan tersebut wajar diperangi dan dibanteras sehingga rakyat, khususnya wanita dikembalikan nikmat rasa selamat dan aman di mana-mana saja mereka berada.

Rodziah Ismail
ADUN BATU TIGA
Merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita
Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, dan
Timbalan Ketua Wanita KEADILAN

———————————————————————————————————
Bergambar di hadapan Balai Polis Shah Alam, Seksyen 11

Kelihatan hadir bersama Rodziah Ismail, Ketua AMK Selangor, Jonah, EXCO-EXCO Wanita KEADILAN, Haniza Talha, Yogeswari, Fairouze, Salmah Ismail, Rozaini Mohd Rosli, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, Dr Mariah (PAS), Ketua Muslimat PAS, Nuraidah Salleh, Hannah Yeoh (DAP), Khalid Samad, Elizabeth Wong dan Gan Pei Nei.   Juga beberapa Ahli Majlis Shah Alam.

Kenyataan Media Ketua Wanita KEADILAN menyokong Kenyataan Rodziah Ismail:

Kenyataan Media

Ketua Wanita KEADILAN                                                                              11 September 2009

Memerangi Budaya Durjana yang Mencabul Hak dan Maruah Wanita

Wanita KEADILAN mengutuk gelagat segelintir penduduk yang telah merosakkan majlis dialog antara penduduk Seksyen 23 dan Kerajaan Negeri Selangor, Darul Ehsan pada 5 September 2009 lalu.

Perlakuan mereka yang tidak tahu malu telah memalukan Malaysia di mata dunia.   Bahkan tindakan dan lemparan kata-kata ancaman dan celupar mereka boleh ditafsirkan sebagai jenayah keganasan seksual terhadap Adun, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita,

Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Kerajaan Negeri Selangor, Darul Ehsan, Rodziah Ismail yang juga Timbalan Ketua Wanita KEADILAN.

Wanita KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun segelintir penduduk dari Seksyen 23 di Majlis Dialog tersebut.   Tindakan mereka bertujuan mencemar maruah Rodziah Ismail secara batil dan menghalang beliau daripada menyampaikan penjelasan yang tepat kepada seluruh wakil penduduk Seksyen 23 mengenai isu perpindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Wanita KEADILAN menyokong penuh laporan polis yang dibuat oleh Rodziah Ismail dalam memelihara keselamatan beliau dari sebarang ancaman yang telah dilemparkan dan memberi isyarat yang lantang kepada pelaku-pelaku budaya durjana bahawa budaya durjana yang mencabul hak dan maruah wanita Malaysia mesti diperangi habis-habisan.   Pendurjana mesti di bawa ke pengadilan, dihukum  dan tidak mengulangi perbuatan durjana mereka itu.

Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita KEADILAN

Roziah Ismail to logde Police Report today 11 September

Rodziah to lodge police report on rape threats


Written by The Edge FInancial Daily
Friday, 11 September 2009 00:01

KUALA LUMPUR: Selangor state executive councillor and Batu Tiga assemblywoman Rodziah Ismail will be lodging a police report today on a rape threat that was made against her during a chaotic dialogue between the Selangor state government and the residents of Section 23 in Shah Alam on Sept 5.

“Anarchist behaviour and hurling profanities are unbecoming of a civilised society. Psychological abuse in whatever form and threats of abuse and sexual molestations must be promptly eliminated,” said Rodziah’s aide, Rozaini Mohd Rosli, in an email statement yesterday.

She said the report would be lodged at the Shah Alam police headquarters in Section 11.

The dialogue session took place amid the Section 23 residents’ protest against the relocation a Hindu temple to their area. Since then, the residents have agreed to the relocation to a second site, also in Section 23.

Six men have been charged with sedition for being part of the cow-head protest against the relocation to the temple. They were also charged with another six men for taking part in an illegal assembly.

Kenyataan Media Ketua Wanita KEADILAN: Masalah Kaum Penan Tidak Selesai

Kenyataan Media
Ketua Wanita KEADILAN                                                                                                                                          8 September 2009

LAPORAN PENYIASATAN DAKWAAN PENDERAAN SEKSUAL TERHADAP WANITA KAUM PENAN TIDAK AKAN SELESAI MASALAH

Wanita KEADILAN ingin merakamkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Faizah Md Tahir yang telah menemui dan memberikan kerjasama kepada rombongan Wanita KEADILAN bagi mendapatkan Laporan oleh Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan bagi Menyiasat Dakwaan Penderaan Seksual Terhadap Wanita Kaum Penan di Sarawak yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizal Abdul Jalil.

Laporan tersebut telah diperoleh semalam, Selasa 8 September 2009.   Wanita KEADILAN telah dengan serta-merta menghebahkannya kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada aktivis yang membela keadaan kaum Penan di Sarawak.

Penelitian terhadap Laporan tersebut telah mendapati bahawa matlamat untuk menyediakan pelan tindakan menangani secara khusus bagaimana untuk mengelakkan jenayah rogol dan penderaan seksual terhadap wanita, gadis dan anak-anak perempuan kaum Penan dengan sewenangnya dari terus berlaku tidak tercapai.

Laporan tidak menyebut peranan khusus yang harus dimainkan oleh pihak polis di Sarawak dalam pelan tindakan untuk menghentikan pencabulan seksual ke atas wanita dan gadis kaum Penan .

Sikap acuh tak acuh dan tidak mesra kaum Penan Polis Sarawak telah memburukkan lagi keadaan bagi keselamatan kaum Penan, khususnya wanita dan gadis.   Kenyataan Ketua Polis Bahagian Jenayah, ACP Huzir Mohamed bahawa PDRM Sarawak tidak mempunyai peruntukkan untuk misi bersama NGO untuk terus menyiasat dakwaan mengenai kes rogol wanita dan gadis Penan sungguh menghampakan.

Janji Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kepada Penan Support Group pada 02.01.2009 bahawa PDRM bersetuju untuk mengadakan siasatan bersama dengan bantuan NGO pula belum menghasilkan sebarang tindakan.

Wanita KEADILAN juga kesal bahawa tiada usaha untuk membawa mereka yang bersalah (yang telah dikenalpasti menurut Laporan) melakukan penderaan seksual terhadap anak-anak, yang semuda usia 10 tahun, sehingga ada di antaranya berulang kali hamil dan melahirkan anak, tidak dibawa ke muka pengadilan.

Wanita KEADILAN mengutuk syarikat pembalakan yang telah jelas sama sekali mengabaikan tanggungjawab sosial mereka dalam memelihara cara hidup, maruah dan kesejahteraan kaum Penan.   Perbuatan pekerja syarikat pembalakan yang mencabul kehormatan wanita kaum Penan merupakan suatu kehinaan yang bersifat kehaiwanan.    Malaysia tidak memerlukan syarikat-syarikat sedemikian yang bersifat rakus beroperasi hanya untuk kepentingan material dan keuntungan wang ringgit yang membawa padah kepada rakyat.

Apakah keuntungan berbilion ringgit mereka tidak dapat dikongsi dalam membangunkan infrastruktur dan usaha-usaha menjamin keselamatan kaum Penan di mana mereka membalak?

1Malaysia PM, Najib Razak makin jauh meleset kerana wujud berbagai golongan rakus yang tidak memperdulikan golongan yang lemah di Malaysia.

Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat

The Penan Report

Isu Penan:Kunjung Hormat ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Rombongan Ketua Wanita KEADILAN telah menemui wakil Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Tan Sri Faizah binti Mohd Tahir (bawah, kanan sekali).

Beliau telah memenuhi permintaan Wanita KEADILAN untuk menghebahkan laporan jawatankuasa bertindak peringkat kebangsaan bagi menyiasat dakwaan penderaan seksual terhadap wanita kaum Penan di Sarawak.

Zuraida Kamaruddin dan pimpinan Wanita KEADILAN di sidang media selepas pertemuan dengan Tan Sri KSU.

Penelitian terhadap Laporan tersebut tidak menyebut tentang tindakan susulan yang wajar bagi membawa mereka yang telah melakukan perkara yang terkutuk itu ke muka pengadilan.

Laporan telah menyatakan perkara-perkara berkaitan dengan masalah-masalah ketiadaan sijil kelahiran, pembelajaran murid dan prasarana kesihatan rakyat Penan. Tiada pelan tindakan khusus supaya jenayah rogol dan penderaan seks terhadap wanita dan gadis Penan tidak berulang lagi.

Apa yang ketara ialah PDRM tidak disebut secara fokus sebagai agensi yang bertanggungjawab memastikan keselamatan Kaum Penan.