KENYATAAN MEDIA – ISU PEMBELAAN WANITA KAUM PENAN, SARAWAK

PIC_5434.jpg(2) -pc penanLaporan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan Bagi Menyiasat Dakwaan Penderaan Seksual Terhadap Wanita Kaum Penan di Sarawak yang disiapkan oleh  Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat akhirnya disiarkan untuk pengetahuan umum. Ianya dilakukan selepas beberapa tahun desakan dan tekanan diberi oleh segenap lapisan golongan sedar dalam masyarakat dan tekanan antarabangsa.

Laporan jawatankuasa khas ini telah dikeluarkan dan diserahkan selepas desakan oleh Ketua Wanita KeADILan, YB Puan Hajjah Zuraida Kamaruddin di luar pejabat Menteri bertanggungjawab Sharizat Abdul Jalil pada 8 September 2009.

Melalui penelitian, laporan yang setebal lebih seratus muka surat tersebut jelas mengandungi fakta-fakta dan penemuan yang amat mengejutkan dan meruntun emosi. Testimoni yang terkandung dalam laporan tersebut juga membuktikan dakwaan bahawa sememangnya wujud jenayah seksual yang dilakukan oleh pekerja syarikat pembalakan termasuk  pemandu-pemandu trak pembawa kayu balak. Penderaan seksual dan pencabulan dilakukan termasuklah terhadap anak-anak sekolah perempuan suku kaum Penan yang dalam perjalanan mereka ke sekolah dengan menumpang kenderaan syarikat pembalakan. Modus operandi yang kerap dilakukan adalah dengan memaksa para pelajar lelaki yang menumpang kenderaan sama untuk turun sementara pemadu lori terbabit mencabul atau merogol mangsa.  

Antara taktik lain yang biasa digunakan oleh pekerja-pekerja syarikat balak ini untuk menjerat mangsa mereka adalah dengan masuk ke kawasan penempatan kaum Penan dan memberi umpan makanan sebelum memujuk mangsa untuk melakukan hubungan seks.

Jenayah-jenayah yang dilakukan kepada komuniti Penan ini telah berlaku semenjak lebih 10 tahun lalu namun sehinggi hari ini tiada tindakan konkrit yang dilakukan oleh pihak kerajaan Persekutuan mahupun pihak Kerajaan negeri bagi menangani isu ini.

Adalah amat mengecewakan apabila mengetahui ada di kalangan rakyat Malaysia yang terpaksa mengharungi kehidupan seharian dalam ketakutan dan ugutan manakala golongan wanita serta anak-anak gadis kecil seawal usia 10 tahun dipergunakan serta didera untuk  melayani nafsu serakah seksual oleh kebanjiran pekerja-pekerja syarikat pembalakan yang datang dari luar untuk menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

Perbuatan merogol adalah jenayah yang sangat zalim terhadap kemanusiaan. Oleh itu, adalah amat mendukacitakan apabila pihak Kementerian yang bertanggungjawab seolah-olah menyembunyikan laporan ini selama hampir setahun tanpa alasan munasabah. Kini banyak pihak yang menuntut penjelasan tentang kelewatan laporan ini disiarkan.

Adalah difahamkan bahawa beberapa persatuan sokongan untuk masyarakat Penan sedang merancang program-program pengupayaan yang pelbagai bagi komuniti tersebut di kawasan Baram dengan menjadikan golongan wanita sebagai kumpulan sasar. Ianya bertujuan bukan sahaja bagi membantu mangsa-mangsa jenayah kejam ini, malah untuk memastikan aktiviti ekonomi bagi menampung sumber makanan mereka dapat dilangsungkan memandangkan tahun ini hasil pertanian untuk makanan yang diusahakan terjejas disebabkan aktiviti pertanian yang tidak menjadi.

PIC_5440.jpg(2)-penanOleh itu, atas dasar keperluan dan kemanusiaan yang tinggi, Kerajaan Negeri Selangor, di bawah YB Rodziah Ismail selaku Exco Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Sains Teknologi dan Inovasi, Kebudayaan telah mengikuti isu ini secara serius dan menyokong kumpulan sokongan Penan di Sarawak dan amat memahami dengan keperluan mendesak yang timbul. Justeru, Kerajaan Negeri Selangor telah menggesa kerajaan negeri Sarawak agar lebih proaktif dan mengambil langkah-langkah sesuai bagi menyelesaikan isu tersebut. Ianya penting agar tindakan segera dapat diambil bagi mencegah sebarang tindakan pencabulan kepada golongan kanak-kanak dan wanita Penan di masa akan datang.

Kerajaan Negeri Selangor yang telah diketuai oleh Dato’ Menteri Besar Yang Amat Berhormat Tan Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim  telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000.00 sebagai sumbangan ke arah melancarkan usaha murni di atas dan adalah diharapkan agar ianya mampu merangsang organisasi dan individu prihatin lain untuk menyumbang bagi tujuan yang serupa.

YB RODZIAH ISMAIL
EXCO HAL EHWAL WANITA, KEBAJIKAN, SAINS TEKNOLOGI & INOVASI, KEBUDAYAAN/TIMB. KETUA WANITA,
PARTI KEADILAN RAKYAT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: