KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PKR – DATO’ SERI WAN AZIZAH WAN ISMAIL

29 Oktober 2009

Rombakan kepimpinan Keadilan telah menimbulkan kekeliruan dan keresahan di kalangan tertentu. Saya sepenuhnya menyedari bahawa tidak semua akan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat kepimpinan parti serta menghargai betapa sukarnya kami untuk membuat keputusan dengan meneliti setiap pandangan yang disampaikan, termasuk dari cabang-cabang yang menjadi tulang belakang parti, di samping memastikan parti mencapai matlamatnya.
 
Tatkala parti kita mulai berkembang dan menjelma menjadi sebuah organisasi yang disegani dan dihormati, sememangnya kita akan menempuh saat sukar untuk mencipta kesimbangan kepimpinan yang terbaik dan strategi yang ampuh untuk mengangkat kita ke tahap perjuangan seterusnya. Sepanjang itu kita telah menempuh pelbagai cabaran serta menemui bakat-bakat baru yang komited dengan perjuangan parti. Kita perlu bekerja kuat untuk mencapai apa yang dicita-citakan dan keputusan yang dibuat minggu ini dibuat selepas mendapat mandat dan berdasarkan semangat musyawarah dalam parti.

Keadilan ditubuhkan untuk menjadi wadah penyatu kepada semua Rakyat Malaysia merentasi batas agama dan kaum serta mengembalikan keutuhan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perjuangan ini ternyata bukan tugas mudah dan merupakan satu tanggungjawab serta cabaran kepada semua pendokong Keadilan.
 
Beberapa tahun lalu ramai yang mencemuh kita kerana kesungguhan perjuangan Keadilan yang berhasrat untuk menamatkan politik perkauman sempit dan membanteras amalan rasuah. Namun bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, kita telah melakarkan kejayaan bersejarah demi memulihkan demokrasi, kebebasan dan kedaulatan undang-undang. Kejayaan tersebut kita kecapi walaupun tidak mendapat sokongan media arus perdana dan berhadapan dengan segala kekuatan serta serangan bertali arus institusi kerajaan yang dikongkong pimpinan Umno-Barisan Nasional.
 
Sememangnya kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang mengecewakan selepas pilihanraya umum Mac lalu. Perjuangan politik kepartian terbukti berhadapan dengan jalan berliku, dan permuafakatan politik tidaklah menjelma sekelip mata. Kekecewaan yang diluahkan oleh sebilangan rakan dan ahli parti ada asasnya. Walau bagaimanapun saya sedia berbincang dengan semua pihak didasari rasa hormat, persefahaman dan iltizam menegakkan keadilan.
 
Masa hadapan negara ini, perjuangan kita serta Pakatan Rakyat tidak bergantung kepada mana-mana individu. Saya menyeru agar semua berpegang teguh dan tetap bersabar memastikan kejayaan perjuangan kita demi Rakyat Malaysia.
 

WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Pengiktirafan Wanita Malaysia; Mana Janji Partisipasi Aktif 30 Peratus?

Polisi penyertaan wanita sebanyak 30% dalam badan pembuat keputusan di Malaysia telah dipublisitikan semenjak tahun 2004 dan diputarkan semula menjelang Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK9) bagi tempoh 2006 hingga 2010 seperti yang diumumkan Perdana Menteri ketika itu. Selaku sayap kerajaan yang bertanggungjawab, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilihat masih terkapai-kapai dan seolah-olah hilang tumpuan dan buah fikiran untuk bertindak sebagai tangan yang efektif bagi menggerakkan misi ini.

Pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan Pelan Tindakan seperti yang dilakukan sebelum ini masih belum nampak hasilnya. Buah fikiran yang disampaikan oleh parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan, wakil badan perundangan sivil dan syariah serta wakil pusat-pusat pengajian tinggi telah tidak digarap dengan optimum. Begitu juga dengan sekian banyak bengkel, forum dan seminar yang dianjurkan bagi memberi kefahaman serta mengupas isu-isu penghalang yang selama ini menjadi tembok kepada partisipasi aktif golongan wanita Malaysia masih hanya tinggal di atas kertas.

Melihat dari sudut wanita dalam hirarki pentadbiran Negara, tahap kepercayaan yang diberikan kepada golongan wanita dalam memainkan peranan penting melalui jawatan Menteri dan Timbalan Menteri adalah amat-amat menyedihkan. Kerajaan Barisan Nasional telah gagal dalam memberikan pengiktirafan setimpal dan menghargai tugas serta peranan golongan wanita di Malaysia berdasarkan fakta bahawa hanya 2 orang Menteri dari kalangan wanita yang dilantik daripada jumlah 27 orang Menteri Kabinet. Ini hanya sekitar 7.4% sahaja berbanding sasaran 30%. Manakala bagi jawatan Timbalan Menteri, hanya 7 orang sahaja dilantik daripada jumlah 40 orang Timbalan Menteri. Dan jawatan tersebut hanyalah jawatan yang dilihat sebagi klise kepada peranan wanita iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Kelaurga dan Masyarakat serta Kementerian Pelancongan. Apakah tiada wanita yang layak dan dipercayai untuk memimpin kementerian yang lebih signifikan peranannya seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna ataupun Kementerian Perdagangan Antrabangsa dan Industri.

Dalam konteks pemerintahan Pakatan Rakyat, Negeri Selangor sebagai contoh telah menunjukkan tauladan serta kepercayaan kepada kebolehan golongan wanita dalam menggalas tanggungjawab. Daripada 11 orang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, empat daripadanya adalah wanita dan ini merupakan bukti kepada kesungguhan politik (political will) dan bukan hanya cakap kosong sahaja.

Wanita Keadilan menggesa dan sangat berharap agar Y.B Senator Datuk Shahrizat  Jalil menunaikan janjinya kepada wanita di seluruh Malaysia dengan memastikan sekurang-kurangnya 8 orang Menteri Kabinet  dan 12 Timbalan Menteri adalah dari golongan wanita. Seterusnya  kelak dituruti  ke peringkat pegawai-pegawai kerajaan dan kakitangan pentadbiran lainnya.  Sekiranya Barisan Nasional kekurangan calon yang bersih dari rasuah dan salah guna kuasa, berkaliber serta professional maka beliau wajarlah menunjukkan kematangan politik demi mencapai matlamat pembangunan dan pengupayaan wanita dengan melibatkan sejumlah 11 orang wakil rakyat wanita dari gagasan Pakatan Rakyat di Parlimen untuk berkerjasama dalam hal ini. Wanita Keadilan khususnya sentiasa komited dan akan sentiasa bangkit menjadi pembela kepada Wanita di Malaysia. 
 
 
YB, Puan Hajjah Zuraida Kamaruddin,
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat,
Ahli Parlimen Ampang.

13 Oktober 2009

KENYATAAN MEDIA – ISU PEMBELAAN WANITA KAUM PENAN, SARAWAK

PIC_5434.jpg(2) -pc penanLaporan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan Bagi Menyiasat Dakwaan Penderaan Seksual Terhadap Wanita Kaum Penan di Sarawak yang disiapkan oleh  Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat akhirnya disiarkan untuk pengetahuan umum. Ianya dilakukan selepas beberapa tahun desakan dan tekanan diberi oleh segenap lapisan golongan sedar dalam masyarakat dan tekanan antarabangsa.

Laporan jawatankuasa khas ini telah dikeluarkan dan diserahkan selepas desakan oleh Ketua Wanita KeADILan, YB Puan Hajjah Zuraida Kamaruddin di luar pejabat Menteri bertanggungjawab Sharizat Abdul Jalil pada 8 September 2009.

Melalui penelitian, laporan yang setebal lebih seratus muka surat tersebut jelas mengandungi fakta-fakta dan penemuan yang amat mengejutkan dan meruntun emosi. Testimoni yang terkandung dalam laporan tersebut juga membuktikan dakwaan bahawa sememangnya wujud jenayah seksual yang dilakukan oleh pekerja syarikat pembalakan termasuk  pemandu-pemandu trak pembawa kayu balak. Penderaan seksual dan pencabulan dilakukan termasuklah terhadap anak-anak sekolah perempuan suku kaum Penan yang dalam perjalanan mereka ke sekolah dengan menumpang kenderaan syarikat pembalakan. Modus operandi yang kerap dilakukan adalah dengan memaksa para pelajar lelaki yang menumpang kenderaan sama untuk turun sementara pemadu lori terbabit mencabul atau merogol mangsa.  

Antara taktik lain yang biasa digunakan oleh pekerja-pekerja syarikat balak ini untuk menjerat mangsa mereka adalah dengan masuk ke kawasan penempatan kaum Penan dan memberi umpan makanan sebelum memujuk mangsa untuk melakukan hubungan seks.

Jenayah-jenayah yang dilakukan kepada komuniti Penan ini telah berlaku semenjak lebih 10 tahun lalu namun sehinggi hari ini tiada tindakan konkrit yang dilakukan oleh pihak kerajaan Persekutuan mahupun pihak Kerajaan negeri bagi menangani isu ini.

Adalah amat mengecewakan apabila mengetahui ada di kalangan rakyat Malaysia yang terpaksa mengharungi kehidupan seharian dalam ketakutan dan ugutan manakala golongan wanita serta anak-anak gadis kecil seawal usia 10 tahun dipergunakan serta didera untuk  melayani nafsu serakah seksual oleh kebanjiran pekerja-pekerja syarikat pembalakan yang datang dari luar untuk menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

Perbuatan merogol adalah jenayah yang sangat zalim terhadap kemanusiaan. Oleh itu, adalah amat mendukacitakan apabila pihak Kementerian yang bertanggungjawab seolah-olah menyembunyikan laporan ini selama hampir setahun tanpa alasan munasabah. Kini banyak pihak yang menuntut penjelasan tentang kelewatan laporan ini disiarkan.

Adalah difahamkan bahawa beberapa persatuan sokongan untuk masyarakat Penan sedang merancang program-program pengupayaan yang pelbagai bagi komuniti tersebut di kawasan Baram dengan menjadikan golongan wanita sebagai kumpulan sasar. Ianya bertujuan bukan sahaja bagi membantu mangsa-mangsa jenayah kejam ini, malah untuk memastikan aktiviti ekonomi bagi menampung sumber makanan mereka dapat dilangsungkan memandangkan tahun ini hasil pertanian untuk makanan yang diusahakan terjejas disebabkan aktiviti pertanian yang tidak menjadi.

PIC_5440.jpg(2)-penanOleh itu, atas dasar keperluan dan kemanusiaan yang tinggi, Kerajaan Negeri Selangor, di bawah YB Rodziah Ismail selaku Exco Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Sains Teknologi dan Inovasi, Kebudayaan telah mengikuti isu ini secara serius dan menyokong kumpulan sokongan Penan di Sarawak dan amat memahami dengan keperluan mendesak yang timbul. Justeru, Kerajaan Negeri Selangor telah menggesa kerajaan negeri Sarawak agar lebih proaktif dan mengambil langkah-langkah sesuai bagi menyelesaikan isu tersebut. Ianya penting agar tindakan segera dapat diambil bagi mencegah sebarang tindakan pencabulan kepada golongan kanak-kanak dan wanita Penan di masa akan datang.

Kerajaan Negeri Selangor yang telah diketuai oleh Dato’ Menteri Besar Yang Amat Berhormat Tan Sri Abdul Khalid Bin Ibrahim  telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000.00 sebagai sumbangan ke arah melancarkan usaha murni di atas dan adalah diharapkan agar ianya mampu merangsang organisasi dan individu prihatin lain untuk menyumbang bagi tujuan yang serupa.

YB RODZIAH ISMAIL
EXCO HAL EHWAL WANITA, KEBAJIKAN, SAINS TEKNOLOGI & INOVASI, KEBUDAYAAN/TIMB. KETUA WANITA,
PARTI KEADILAN RAKYAT

ROSMAH GANTI KHAIRY!

TV Antara – Dulu Khairy, sekarang Rosmah menjadi kepala “Tingkat 4” pejabat Perdana Menteri.

Pegawai kanan Kementerian Kewangan dikatakan semakin gusar dengan campurtangan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, dalam urusan Perbendaharaan Negara, termasuk penyediaan Belanjawan 2010 dan pemberian kontrak dan tender kerajaan.
sumber-sumber kerajaan berkata campurtangan itu sudah di “tahap kritikal’ dengan Rosmah mempertikaikan keputusan tertentu Timbalan Perdana Menteri Muhyyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Campurtangan Rosmah itu tidak menerima sebarang teguran daripada Najib walaupun beliau adalah juga Menteri Kewangan. Sumber-sumber memberitahu Suara Keadilan, Rosmah menaruh minat yang amat mendalam terhadap penyediaan Bajet 2010 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen pada sesi Persidangan Dewan Rakyat 23 Oktober depan.

Isteri kedua Najib itu dikatakan mempunyai akses kepada semua bahan-bahan serta dokumen yang berkaitan dengan belanjawan tersebut sehinggakan menimbulkan rasa gelisah dan tidak senang hati di kalangan pegawai tinggi kementerian. Campurtangan Rosmah dalam keputusan pada peringkat tertinggi kerajaan meletakkan pengurusan negara dalam keadaan bahaya dan kewibawaannya di kompromi.
 
Sumber juga memberitahu Rosmah memperlihatkan keghairahan beliau terhadap semua aspek perbelanjaan setiap kementerian terutama yang berkaitan dengan pembelian atau “procurement” serta pemberian kontrak-kontrak. “Rosmah memberi perhatian mendalam kepada aspek penyediaan Bajet 2010 terutamanya yang berkenaan dengan pembelian dan kontrak-kontrak kementerian yang penting,” kata sumber itu.

Walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi Rosmah mempunyai sebuah pejabat di Pejabat Perdana Menteri dan mempunyai beberapa kakitangan bagi membantu beliau. Malah pelancaran laman website beliau, www.pmo.gov.my/datinrosmah telah mengundang kritikan kerana didakwa menggunakan dana awam dan salahguna kuasa untuk menyenggara laman web peribadinya.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin berkata sebagai isteri Perdana Menteri beliau sepatutnya menjadi pemanis dan penyokong kepada suaminya bukan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan. “Saya meletakkan kelemahan perjuangan pembudayaan dan agenda wanita dan remaja di negara ini di atas bahu Shahrizat (Jalil) selaku menteri yang bertanggungjawab.

“Disebabkan menteri gagal maka Rosmah pun mengambil kesempatan ini untuk menonjolkan diri sebagai juara wanita di negara ini. “Saya tidak lihat kerjasama yang tulen antara Rosmah dan Shahrizat untuk memajukan golongan wanita malah mereka kelihatan bersaing. Kalau Shahrizat sekadar menjadi penghias kabinet lebih elok biar Rosmah bertanding,” cabar Ketua Wanita KEADILAN itu.

Zuraida mendakwa Rosmah juga masuk campur semasa kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang baru-baru ini dengan menghadiahkan tiga buah rumah teres kepada kampung Bagan Pinang untuk dijadikan pusat remaja. Gula-gula politik itu diberikan atas nama program Permata Negara di bawah naungan beliau.

Rosmah juga dikatakan telah campurtangan membuat keputusan-keputusan penting bersabit bantuan untuk pelarian Palestin dengan membelakangkan ahli jawatankuasa Penaung Tabung Kemanusiaan Palestin yang mempunyai baki dana RM11 juta. Di kalangan kenalan dan mereka yang mengenal beliau secara rapat, Rosmah diketahui mempunyai cita-cita yang tinggi.

Malah seorang kenalan sekolah beliau semasa belajar di Kolej Tunku Kursiah mengatakan Rosmah pernah mendabik dada bahawa beliau pasti akan berkahwin dengan seorang Perdana Menteri pada satu hari kelak!

UCAPAN SEMPENA DEEPAVALI 2009

Salam Sejahtera,

Sempena Perayaan Deepavali yang bakal disambut masyarakat beragama Hindu di Malaysia pada 17 Oktober ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh yang menyambutnya. Pastinya rumah-rumah yang menyambutnya meriah dengan hiasan Rangoli yang berwarna warni serta hidangan makanan yang lazat menyambut kehadiran tetamu. Jika dilihat dari kanta sejarah, perayaan Deepavali yang juga dikenali sebagai Diwali atau Pesta Cahaya disambut dengan penuh kegembiraan sebagai tanda kemenangan menurut kepercayaan masyarakat Hindu. Watak-watak seperti Rama dan Ravana serta Ram, Sita dan Laxman yang membayangi latar sejarah disebalik perayaan ini dapat dijadikan rujukan kepada soal universal yang berkaitan dengan manusiawi dan keadilan sejagat. Kegembiraan pesta cahaya ini dipancarkan dengan tafsiran bahawa sinaran cahaya yang menerangi itu dijadikan sebagai simbol yang dapat memadamkan kegelapan yang mewakili kejahatan dan penindasan. Saya berharap agar melalui perayaan yang disambut ini, masyarakat India khususnya dapat menyemai nilai-nilai keadilan, toleransi dan menentang kezaliman serta penindasan dalam apa jua bentuk. Kegelapan lampau yang terbentuk akibat dari kongkongan sosial serta pengasingan perlu diterangi dengan cahaya kebangkitan yang bersemarak. Peluang pertemuan antara ahli keluarga yang jauh dan dekat, pertemuan antara pemimpin dan rakyat serta pertemuan antara sahabat handai perlu dijadikan landasan untuk bermaaf-maafan serta mengukuhkan perhubungan. Dalam konteks Malaysia yang berbilang kepercayaan. Masyarakat lain terutamanya Muslim juga harus turut mengimbangi sikap toleransi mereka supaya cenderung kearah seperti yang dianjurkan Islam sendiri. Syak wasangka, perasaan curiga serta sikap yang menjuruskan kepada perkauman perlu dihapuskan. Janganlah gusar untuk memberi ucapan perayaan kepada mereka, sesuai dengan pendapat Ulama’ Islam terkenal Al-Qaradhawi yang menyebutkan bahawa,“Ini (ucap tahniah) termasuk dari hak-hak bersama. Jika seorang ahli kitab datang dan mengucapkan tahniah kepada kamu dengan perayaan kamu, dan dia berkongsi kedukaan dan musibah kamu, dan dia mengucapkan ta’ziah kepada kamu dengan kedukaan dan musibah tersebut. Maka apakah pula yang melarang kamu dari memberi tahniah dengan perayaannya dan dalam kegembiraannya dan kamu ucap takziah dalam musibah yang menimpanya.” Pendapat beliau itu disandarkan pada Surah An-Nisa’ ayat 86 “Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa.” Oleh itu, saya mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat India, semoga semangat perubahan dan membebaskan dari dari kesuraman serta kegelapan dapat dapat diteruskan.

Deepavali Nal Valthukal!

YANG BERHORMAT PUAN HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN

Ahli Parlimen Ampang

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat

PASUKAN MISI BANTUAN KEMANUSIAAN SELANGOR (PANTAS)-Misi Bantuan Mangsa Gempa Padang

PANTAS adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan Kerajaan Negeri Selangor yang terlibat dalam kerja-kerja misi bantuan kemanusiaan dalam dan luar negara.Berikutan bencana gempa bumi yang melanda Padang, Indonesia, pasukan PANTAS yang diketuai oleh YB Zuraida Kamaruddin telah mengadakan misi bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa di sana.PANTAS akan menumpukan bantuan dari segi sosio-ekonomi. 
Misi ini terbahagi kepada 5 kumpulan dan kumpulan pertama telah berlepas ke Padang, Indonesia pada 14 Oktober, 2009. Misi pertama ini yang juga diketuai oleh YB Zuraida Kamaruddin mengandungi seramai 10 orang sukarelawan.Misi pertama ditugaskan sebagai Pasukan Pemantau di mana mereka perlu mengenalpasti kawasan yang
masih belum menerima bantuan serta bentuk-bentuk bantuan yang boleh diberikan.Pasukan ini juga ditugaskan menyediakan logistik serta menyusun program lawatan daripada Kerajaan Selangor. Misi pertama ini akan berada di Padang sehingga 20 Oktober 2009 dan tugas-tugas berikutnya akan disambung oleh misi yang seterusnya.
Ketibaan misi pertama ini disambut oleh wakil dari Badan Kementeriaan Pemberdayaan Perempuan & Keluarga Berencana, Propinsi Padang, Ibu Desi. PANTAS dibawa mendengar taklimat daripada Kepala Badan Pemberdayaan Perempuan & Keluarga Berencana, Provinsi Padang, Ibu Afrizalti berkenaan keadaan semasa di kawasan gempa.
Kemudian pasukan dibawa ke Kantor Bupati Badan Pemberdayaan Perempuan Pariaman dan mendengar taklimat daripada Kepala Kantor, Ibu Mis. Setelah selesai taklimat ringkas daripada kedua-dua belah pihak, pasukan dibawa meninjau ke kawasan yang terjejas teruk sekitar Pariaman.  Sukerelawan mula mengedar barang-barang keperluan asas
yang dibawa dari Malaysia.

Pencalonan Isa Samad Bukti UMNO Tidak Serius Untuk Berubah

Pencalonan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sebagai calon UMNO bagi menentang rakyat di Bagan Pinang sebenarnya tidak mengejutkan. Ianya sudah dijangka sementelah cuma satu nama sahaja yang diacdangkan oleh kepimpinan UMNO Bahagian Teluk Kemang yang diketuai oleh Isa sendiri. Dengan ugutan boikot dari UMNO Bahagian dan sebahagian pemimpin utama UMNO Negeri Sembilan yang masih dipengaruhi Isa Samad, UMNO sendiri dilihat sebagai tidak mempunyai pilihan selain daripada memilih untuk mencalonkan Isa Samad sendiri walaupun terdapat banyak nama yang boleh dipertimbangkan.

Pemilihan ini membuktikan kepada banyak pihak bahawa laungan UMNO untuk berubah hanyalah sekadar lapisan angan-angan sahaja dan impian tersebut sangat sukar dilaksanakan kerana political will atau kemahuan yang jitu gagal diserap oleh UMNO di semua peringkat. Janji manis UMNO untuk berubah selepas pemilihan Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang ke enam nyata musnah di Bagan Pinang. UMNO masih lagi ditakluki segelintir pemimpin kelas elit yang hanya mementingka kesinambungan kuasa dan peluang meraup kekayaan. Buktinya, Isa Samad yang telah lebih dua dekad menjadi wakil rakyat dan hampir 20 tahun menjadi Menteri Besar masih lagi dipilih. Untuk apa jika bukan kerana ada agenda lainnya? Seolah-olah tiada pemimpin pelapis dari generasi muda yang berkemampuan untuk menggalas harapan UMNO.

Pemilihan Isa Samad pastinya memanaskan punggung Menteri Besar sekarang yang umum mengetahui ialah dari kelompok penyokong bekas Perdana Menteri Pak Lah. Semenjak memegang kepimpinan UMNO Negeri Sembilan, ramai EXCO baru yang dilantik dan calon-calon pro Isa Samad digugurkan dari bertanding dalam PRU ke 12 yang lepas. Hasilnya BN hilang majoriti di Negeri Sembilan dan hanya 4 kerusi diperlukan untuk majoriti mudah bagi Pakatan Rakyat memerintah Negeri adat perpatih itu. Pastinya kegusaran itu akan bertambah kerana jika Isa Samad menang, adalah mustahil beliau akan hanya menjadi wakil rakyat biasa sahaja. Isa sentiasa dilihat sebagai kroni Najib Tun Razak semenjak dari zaman beliau menjawat EXCO Pemuda UMNO di zaman Anwar Ibrahim lagi.

PAS yang meletakkan Pesuruhjaya Negeri Sembilan, Zulkifi Omar nyata optimis untuk mengulangi kejutan seperti di Parlimen Kuala Terengganu. Di atas kertas, PAS turun selaku underdog dengan kekurangan 2333 undi berbanding UMNO. Menyedari fakta bahawa undi pos di Bagan Pinang ialah sebanyak 4604 undi dan amat mustahil bagi pas mengulangi kejayaan mencuri lebih satu ribu undi pos seperti pilihanraya umum lagu kerana pastinya kawalan , amaran dan ugutan lebih keras lagi digunakan bagi memperlekehkan anggota keselamatan yang mengundi di kem masing-masing. Awal-awal lagi PAS sudah berstrategi agar UMNO meletakkan Isa Samad selaku calon kerana ini merupakan nilai tambah bagi PAS untuk berkempen kerana Isa Samad mempunyai track record yang tidak bersih. Untuk UMNO menyatakan bahawa character assasination atau kempen menghentam peribadi ini sebagai tidak bermaruah adalah agak lucu kerana latarbelakang UMNO yang sehingga hari ini menyerang peribadi Tuan Guru Menteri Besar Kelantan dan juga Dato Seri Anwar Ibrahim masih rancak berkumandang. PAS juga melalui calonnya boleh menggunakan isu kebajikan rakyat yang dilaksanakan di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah selain daripada menggunkan isu kontroversi seperti Perarakan Kepala Lembu dan sebagainya untuk diterangkan kepada rakyat Bagan Pinang.

Secara umumnya, peluang dilihat masih ada bagi PAS membuat kejutan walaupun dengan hanya mengurangkan majoriti undi Barisan Nasional walaupun untuk menang adalah di luar jangkaan. Namun sekiranya PAS berjaya memenangi pilihanraya kecil ini, maka kemungkinan gelombang perubahan di kawasan Selatan tanah air yang dahulunya dilihat sebagai benteng Barisan Nasional akan mula membadai.