Kenyataan Media: Rodziah Ismail

Kenyataan Media

ADUN BATU TIGA
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita,
Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan,dan
Timbalan Ketua Wanita KEADILAN

Shah Alam, 11 September 2009 : Hari ini saya membuat laporan polis terhadap ugutan rogol yang dilemparkan kepada saya ketika dalam Majlis Dialog di antara penduduk Seksyen 23, Shah Alam dengan Kerajaan Negeri Selangor pada 5hb September lalu di MBSA, Shah Alam.

Adalah bukan hasrat saya untuk memanjangkan isu ini kerana fokusnya adalah isu sebenar yakni pemindahan kuil Seksyen 19, namun keputusan ini dibuat setelah hampir seminggu berlalu kerana kegusaran tentang keselamatan diri saya, keluarga serta pegawai saya makin hari makin bertambah memandangkan pihak polis belum lagi mengambil sebarang tindakan dalam perkara ini.

Saya telah hadir sebagai salah seorang panel dan wakil rakyat Dun Batu Tiga bagi menyelesaikan isu pemindahan kuil, namun telah menerima kata-kata kesat dan ugutan rogol daripada mereka yang cuba menimbulkan kekecohan dalam majlis tersebut.

Antara kata-kata kesat terhadap saya yang dikenalpasti ialah;

“Jalang!”
“Rodziah mengalahkan pelacur!” “Pelacur lebih baik dari kau!”
“Babi!”
“Sundal!”
“Kau jangan bersuara, Rodziah!”
Lemparan kata,”Aku akan rogol kau, Rozdiah!”

Intimidasi ini jelas adalah untuk memburukkan nama dan menghina saya. Saya berasa amat kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh segelintir mereka ini sehingga merasakan keselamatan dan kehormatan diri saya terancam.

Kerisauan saya ialah: jika saya seorang Adun dan EXCO Kerajaan Negeri boleh dilemparkan kata-kata kesat and ugutan sebegini, apakah wanita-wanita lain akan terasa selamat menghadapi atau berurusan dengan mereka yang seperti itu?

Kekecohan yang ditimbulkan sepanjang sesi penerangan daripada Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Dato’ Bandar dan saya sendiri selaku ADUN Batu Tiga juga memperlihatkan sikap tidak hormat kepada majlis tersebut serta pemimpin kerajaan negeri.

Kelakuan liar kumpulan kecil ini telah merosakkan majlis yang bertujuan untuk membuka ruang kepada penduduk berdialog secara berhemah. Tindakan mereka ini jelas bukan untuk berdialog tetapi mencemarkan kerajaan negeri dan nama individu atas agenda politik tertentu.

Selain klip video, ungkapan-ungkapan tidak bermoral itu telah didengar dan disaksikan oleh ramai penduduk, wartawan, dan para petugas keselamatan MBSA yang telah hadir melihat sendiri gelagat segelintir mereka yang memporak-perandakan majlis secara sengaja.

Kedurjanaan yang menganjur keburukan, membudayakan unsur keganasan, seksisme, dan menakut-nakutkan orang lain serta merosakkan keharmonian sesama insan yang telah ditunjukkan oleh golongan tersebut wajar diperangi dan dibanteras sehingga rakyat, khususnya wanita dikembalikan nikmat rasa selamat dan aman di mana-mana saja mereka berada.

Rodziah Ismail
ADUN BATU TIGA
Merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita
Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, dan
Timbalan Ketua Wanita KEADILAN

———————————————————————————————————
Bergambar di hadapan Balai Polis Shah Alam, Seksyen 11

Kelihatan hadir bersama Rodziah Ismail, Ketua AMK Selangor, Jonah, EXCO-EXCO Wanita KEADILAN, Haniza Talha, Yogeswari, Fairouze, Salmah Ismail, Rozaini Mohd Rosli, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, Dr Mariah (PAS), Ketua Muslimat PAS, Nuraidah Salleh, Hannah Yeoh (DAP), Khalid Samad, Elizabeth Wong dan Gan Pei Nei.   Juga beberapa Ahli Majlis Shah Alam.

Kenyataan Media Ketua Wanita KEADILAN menyokong Kenyataan Rodziah Ismail:

Kenyataan Media

Ketua Wanita KEADILAN                                                                              11 September 2009

Memerangi Budaya Durjana yang Mencabul Hak dan Maruah Wanita

Wanita KEADILAN mengutuk gelagat segelintir penduduk yang telah merosakkan majlis dialog antara penduduk Seksyen 23 dan Kerajaan Negeri Selangor, Darul Ehsan pada 5 September 2009 lalu.

Perlakuan mereka yang tidak tahu malu telah memalukan Malaysia di mata dunia.   Bahkan tindakan dan lemparan kata-kata ancaman dan celupar mereka boleh ditafsirkan sebagai jenayah keganasan seksual terhadap Adun, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita,

Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Kerajaan Negeri Selangor, Darul Ehsan, Rodziah Ismail yang juga Timbalan Ketua Wanita KEADILAN.

Wanita KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun segelintir penduduk dari Seksyen 23 di Majlis Dialog tersebut.   Tindakan mereka bertujuan mencemar maruah Rodziah Ismail secara batil dan menghalang beliau daripada menyampaikan penjelasan yang tepat kepada seluruh wakil penduduk Seksyen 23 mengenai isu perpindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Wanita KEADILAN menyokong penuh laporan polis yang dibuat oleh Rodziah Ismail dalam memelihara keselamatan beliau dari sebarang ancaman yang telah dilemparkan dan memberi isyarat yang lantang kepada pelaku-pelaku budaya durjana bahawa budaya durjana yang mencabul hak dan maruah wanita Malaysia mesti diperangi habis-habisan.   Pendurjana mesti di bawa ke pengadilan, dihukum  dan tidak mengulangi perbuatan durjana mereka itu.

Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita KEADILAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: