Pilihanraya Kecil Manek Urai (3)

PAS kalah jika pengundi luar tidak pulang

KUALA KRAI, Julai 7 – PAS dijangka akan kalah di Manek Urai jika pengundi luar kawasannya tidak balik mengundi dalam pilihan raya kecil kali ini.

Menurut sumber, PAS sangat berharap hampir 2,000 pengundi di luar kawasannya itu pulang Julai 14 ini untuk mengundi.

Lebih 25 peratus pengundi Manek Urai berada di luar kawasan mengundi itu, dan 70 peratus dari mereka pula mengundi PAS dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Mereka pulang mengundi berikutan kebimbangan kalau-kalau kerajaan negeri Kelantan pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu jatuh ekoran kempen kuat Umno.

“Mereka menaiki kenderaan yang disiapkan oleh Umno, namun di pertengahan jalan mereka menunjukkan warna sebenar mereka dan mengundi PAS di hari pilihan raya,” kata satu sumber.

Ketika itu, majoriti kerajaan negeri Kelantan hanya satu kerusi sahaja.

“Calon PAS, Zakaria Yaakob pula menang di Dun Kemuning dengan majoriti dua undi sahaja,” kata beliau lagi.

Menurut ceritanya pula, dua undi itu datangnya dari sepasang suami isteri penyokong PAS yang pulang dari Sarawak dalam pilihan raya 2004 itu untuk mengundi di Kemuning.

“Atas dasar itulah PAS menang besar dalam pilihan raya 2008, kerana pengundi luar pulang untuk selamatkan negeri Tok Guru,” katanya.

“Kali ini saya yakin, jika mereka tidak pulang sekali lagi untuk mengundi PAS, parti itu kalah kalah dalam pilihan raya ini,” kata sumber itu.

Menurutnya, daripada hampir 2,000 pengundi PAS yang ada di luar kawasan itu, hampir 700 orang berada di Kuala Lumpur.

Selain itu mereka bertebaran di Selangor, Johor, Pahang, Terengganu bahkan di Australia, Mesir, Qatar, Dubai dan juga Singapura.

Bagi beliau, ada beberapa perkara akan berlaku jika pengundi luar PAS ini tidak pulang mengundi kali ini.

1) PAS akan menang dengan majoriti yang rendah.

“Jika ini berlaku, saya yakin, Umno akan berkata mereka menang dan sokongan pengundi sudah datang kepada Umno balik,” katanya.

2) Kemungkinan PAS akan kalah.

Ini berikutan dari langkah Umno yang menggunakan pelbagai cara untuk menang dalam pilihan raya kecil ini.

Antaranya menggunakan pelbagai agensi kerajaan termasuk menempatkan lebih 3,000 anggota polis dalam kawasan yang kecil ini.

“Kalau di Kuala Terengganu, 3,000 ok kerana kawasannya luas iaitu Parlimen, ini Dun sahaja,” katanya.

Selain itu, Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan sudah menganjurkan tiga kali kursus menjelang hari penamaan calon untuk 200 lebih gurunya yang bertugas dalam kawasan pilihan raya Manik Urai.

Risda pula telah membahagikan banyak subsidi anak benih getah untuk tanam semula dan baja getah kepada penduduk kawasan ini manakala Kesedar membaik pulih jalan-jalan kampung.

Jabatan Kesihatan pula membuat program kesihatan kepada penduduk kampung manakala Jakim menganjurkan khatam Quran beramai-ramai.

Umno pula didakwa membuat gempuran luar biasa termasuk bersekongkol dengan SPR dalam menetapkan tarikh pilihan raya ini.

“Bayangkan hari pilihan raya 14 Julai ini tengah bulan, hari bekerja pula. Orang akan berfikir banyak kali sebelum pulang mengundi kerana pertengahan minggu dan pertengahan bulan mana ada duit banyak,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS Manek Urai, Abdul Fatah Harun berkata, “Umno janji bayar RM300 untuk pengundi luar supaya jangan balik.”

Namun MB Kelantan, Datuk Nik Aziz telah berkata, “Ambil duit itu, tetapi balik mengundi.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: