Sidang Media KW KEADILAN: Pemerdagangan Manusia – Penguatkuasaan yang lemah

Kenyataan Media

Ketua Wanita KEADILAN (Ahli Parlimen Ampang)

29 Jun 2009

Penguatkuasaan Akta Pemerdagangan Orang 2007 lemah

Wanita KEADILAN telah menerima aduan para pekerja asing yang telah dikurung, ditempatkan dalam kediaman yang amat daif,  tidak dibayar gaji, bekerja tanpa rehat dan dinafikan passport mereka oleh majikan yang tidak bertanggungjawab.

Wanita KEADILAN memandang serius penderaan majikan yang sedemikian, khususnya terhadap pekerja wanita dan gadis yang juga terdedah kepada eksploitasi seksual.  Ia menjadikan para pekerja yang terbabit menjadi terikat dalam hutang berpanjangan kepada majikan atau mereka yang telah membawa masuk pekerja yang terbabit.    Ia boleh diklasifikasikan sebagai salah satu bentuk pemerdagangan orang, dan dikira sebagai kesalahan jenayah di bawah Akta Pemerdagangan Orang 2007.

Pemerdagangan Orang ini menjadi berleluasa oleh penguatkuasaan yang lemah kerajaan Malaysia.   Penguatkuasaan diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, dan Kementerian Sumber Manusia.   Ada laporan yang mengsyakki wujudnya rasuah dalam pengurusan kemasukan dan pengendalian para pekerja asing ke Malaysia oleh pegawai-pegwai kerajaan di Malaysia.   Laporan Pemerdagangan Orang 2009 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika telah meletakkan Malaysia dalam senaraihitam, Tier 3, yang membawa implikasi berlakunya perleluasan pemerdgangan orang di Malaysia dan penguatkuasaan yang sangat lemah terhadap aktiviti tersebut.

Wanita KEADILAN menggesa agar kerajaan Malaysia menambah usaha untuk benar-benar membantras gejala pemerdagangan orang ini; membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan selepas penyiasatan, mendakwa pegwai-pegawai kerajaan yang telah mendapat keuntungan menerusi pemerdagangan orang, meningkatkan kefahaman dan profesionalisme  jentera kerajaan dalam penguatkuasaan Akta Pemerdagangan Orang 2007, meningkat dan memperkemas perlindungan terhadap mangsa pemerdagangan orang, dan memperluaskan pengetahuan mengenai jenayah pemerdagangan orang kepada golongan majikan dan kakitangan kerajaan serta orang ramai.

Wanita KEADILAN juga menggesa supaya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil peranan aktif dalam memastikan bahawa aduan-aduan rasmi yang diterima oleh pihak berkuasa diambil tindakan dan penyelesaian segera.   Di antara yang teraniya tergolong dari wanita dan gadis yang telah didera secara emosi, fizikal, mental dan dijadikan hamba seks.

Persoalan yang besar ialah kenapa kerajaan Malaysia, dengan segala sumber dan jentera yang banyak masih gagal mengurangkan atau membendung gejala pemerdagangan orang yang kian berleluasa walaupun sudah ada Akta Pemerdagangan Orang 2007?

Zuraida Kamaruddin

Ketua Wanita KEADILAN

Ahli Parlimen Ampang

——————————————————————————————————————————————————————————————————

Malaysia destinasi, transit pemerdagangan orang (human trafficking)

Oleh Rozaini Mohd Rosli

Pada 1 September 2006, Kongres Nasional Wanita KEADILAN telah meluluskan usul anti perdagangan wanita.   Usul itu menuntut dengan tegas supaya kerajaan:

  1. Mewujudkan dengan segera satu Akta Anti-Perdagangan Manusia
  2. Menunjukkan  kehendak  politik (political will) serta komitmen  di dalam usaha membasmi rasuah dan korupsi yang dikhuatiri telah membantu  memakmurkan perdagangan wanita dengan cara memastikan bahawa BPR dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen.
  3. Menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas (Special Task Force)  bagi tujuan mengkaji dasar dan program yang akan menggerakkan usaha  preventif, pemulihan  dan seterusnya membenteras sehabis-habisnya aktiviti perdagangan  wanita ini.

Sejurus selepas itu, kerajaan Malaysia telah membentangkan Rang Undang-Undang Anti-Pemerdagangan Orang 2007.   Parlimen telah meluluskannya sebagai Akta dan penguatkuasaan sepenuhnya pada akhir Februari 2008.   Dengan itu, Malaysia telah keluar dari senarai hitam Tier 3.

Kerajaan Malaysia pernah dituduh menjadi destinasi dan lokasi transit bagi penjenayah pemerdagangan orang dan telah disenaraihitamkan dalam Tier 3 oleh Amerika Syarikat pada tahun 2001 dan 2007.   Ia memberi implikasi bahwa Malaysia akan mengalami sekatan-sekatan dan bantuan, khususnya dalam bidang ekonomi dan peruntukan kewangan dari masyarakat antarabangsa untuk tujuan bukan perniagaan.

Laporan tahunan Amerika Syarikat, yang dihebahkan pada 17 Jun 2009 lalu, telah menyenaraikan semula Malaysia dalam Tier 3.   Negara-negara lain yang disenarihitamkan ialah: Burma, Chad, Cuba, Eritrea, Fiji, Iran, Kuwait, [Malaysia], Mauritania, Niger, North Korea, Papua New Guinea, Saudi Arabia, Sudan, Swaziland, Syria, dan Zimbabwe.

Kegagalan membendung kegiatan pemerdagangan orang ini telah membawa persepsi bahawa kementerian-kementerian yang terlibat tidak melaksanakan tugasan dengan sempurna atau ada pegawai-pegawai kementerian berkenaan yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang ini.   Perkara yang menyuburkan perlanggaran hak asasi manusia dan jenayah yang meranapkan kehidupan dan masa depan mangsa perlu diatasi segera oleh Menteri Dalam Negeri, Menteri Sumber Manusia dan Ketua Polis Negara kerana dalam banyak kes, segala laporan dan bukti yang diperlukan telah dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa.   Tiada apa-apa tindakan wajar yang diambil.   Kerajaan Malaysia dilihat tidak memberi komitmen yang dikehensaki untuk melaksanakan Akta Pemerdagangan Orang 2007.

Mangsa-mangsa didapati oleh penjenayah menerusi penculikan, memperdaya mangsa dengan janji-janji pekerjaan dengan gaji lumayan dan peluang perkahwinan di luar negara, mengiklankan peluang-peluang dalam akhbar, menemui mangsa dan keluarganya secara langsung dan menjanjikan pekerjaan yang baik.   Penjenayah juga mendapati mangsa wanita dari kem tahanan pelarian dan menawarkan peluang tempat tinggal yang lebih baik dan juga pekerjaan.   Selepas mendapatkan dokumen-dokumen palsu serta membayar segala kos-kos perjalanan, mangsa diikat dengan kos tersebut yang kini dikira sebagai pinjaman dengan bayaran bunga yang sangat tinggi agar mangsa selamanya berada di bawah telunjuk penjenayah pemerdagangan orang; dalam erti kata lain menjadi mangsa sebagai hamba abdi di zaman pasca moden ini.   Mangsa wanita sebahagiannya telah dipaksa bekerja di sarang pelacuran dan ada yang menjadi pelayan peribadi bapak-bapak ayam sehingga ada yang hamil.   Biasanya mangsa-mangsa tidak dibenarkan berkomunikasi dengan orang luar, walaupun menerusi telefon.   Segala dokumen mangsa-mangsa dari luar negara ini akan disimpan oleh penjenyah.  Dengan itu, mangsa tidak berani keluar atau melaporkan apa-apa kerana ditakuti akan ditangkap dan dipenjarakan kerana berada di Malaysia tanpa sebarang dokumen.   Selain itu, mangsa juga didera secara fizikal dan dikurung oleh penjenayah.

Penggubalan Akta di Parlimen tidak membawa sebarang makna kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan aktiviti jenayah pemerdagangan orang kecuali Akta tersebut sepenuhnya disokong, dilaksana dan dikuatkuasa oleh kesemua Menteri-Menteri yang terlibat.   Kementerian-kementerian yang diamanahkan dituntut untuk bekerjasama secara integrated dan berkesan dan tidak berterusan memberi alasan-alasan untuk menutup kekurangan dalam mencari penyelesaian membantras jenayah pemerdagangan orang ini.   Gejala rasuah yang timbul di kalangan pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam jenayah ini mestilah dibawa segera ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya.   Kempen-kempen umum yang komprehensif dan merakyatkan pengetahuan tentang Akta Pemerdagangan Orang dan kejelekan aktiviti jenayah berkaitan perlulah dilaksanakan dan diperluaskan kepada rakyat Malaysia.

Kerajaan Malaysia Umno-BN perlu meyakinkan rakyat dan masyarakat global bahawa ia benar-benar serius dalam menangani permasalahan jenayah pemerdagangan orang.   Setakat ini, Akta Pemerdagangan Orang 2007 dilihat belum berfungsi sepenuhnya seperti yang dikehendaki.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: