Sensitiviti yang perlu difahami, bukan mencari undi…

Agama anak: Kabinet mesti rujuk mufti
Apr 24, 09 4:35pm Malaysiakini.com
Keputusan kabinet semalam – anak kekal agama asal ibu bapanya walaupun salah seorang menganut Islam – sewajarnya dirujuk kepada mufti, kata Datuk Seri Harussani Zakaria.

Mufti Perak menyarankan kerajaan mendapatkan pandangan Majlis Mufti-mufti Malaysia sebelum membuat sebarang keputusan berhubung Islam bagi mengelak timbulnya kekeliruan, lapor Bernama.

“Dalam agama Islam, mana-mana bapa atau ibu yang menganuti Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak tersebut sudah berumur lebih 15 tahun dan boleh memilih agamanya sendiri,” Harussani dipetik berkata hari ini.

Ketika mengumumkan keputusan kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan itu sebagai langkah penyelesaian berhubung pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa menukar agama.

Menurut agensi berita itu lagi, beberapa NGO Islam turut menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan itu kerana mendakwa ia dibuat tanpa mengambil kira undang-undang sedia ada dan pandangan pihak-pihak yang berkenaan.

Keputusan itu menafikan hak pihak yang memeluk Islam, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abdul Latif pada sidang akhbar yang turut dihadiri wakil-wakil badan lain termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Dakwah dan Kebajikan Saudara Baru Islam SeMalaysia.

Selain keputusan membesarkan anak di bawah umur mengikut agama asal ibu bapanya, kabinet juga memutuskan pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil.

Nazri dilaporkan berkata, langkah itu selaras dengan pendirian jemaah menteri bahawa enakmen syariah hanya boleh digunakan terhadap perjanjian berkaitan perkahwinan yang dibuat bermula dari tarikh individu itu memeluk Islam dan bukannya sebelum itu.

Tambahnya, keputusan itu berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes K Pathmanaban atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di JPM Tan Sri Dr Koh Tsu Koon turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; Menteri di JPM Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

——————————————————————

Khamis April 23, 2009
Anak kekal agama: Keputusan Kabinet disambut baik

KUALA LUMPUR: MCA menyatakan rasa puas hati dengan keputusan Kabinet berhubung penyelesaian pertikaian mengenai agama anak-anak yang kekal menganut agama asal ibu bapa masingmasing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka memeluk Islam.

“Langkah ini adalah selaras dengan konsep 1Malaysia gagasan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk meningkatkan harmoni.

“Keputusan Kabinet akan menyelesaikan isuisu yang telah memberi kesan keharmonian di negara ini,” kata Gan Ping Sieu, jurucakap MCA Ketua Biro Pendidikan dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Kabinet yang menyatakan ibu atau bapa yang menukar agama Islam, anak-anak kekal menganut agama asal semasa berkahwin.

Gan berkata, MCA mengulangi pendiriannya bahawa jika agama anak-anak tidak boleh dipersetujui oleh kedua-dua ibu bapa jika ibu atau bapa memeluk Islam, status quo agama kanak-kanak itu hendaklah kekal sehinggalah mereka berumur 18 tahun.

Namun, kata beliau MCA melihat keputusan Kabinet itu hanya boleh digunakan di dalam kes di mana ibu bapa bercerai dan seorang daripada mereka menjadi “muallaf” kerana memeluk Islam.

Gan berkata, masih timbul persoalan tentang kes-kes perkahwinan sivil yang masih belum diputuskan mengikut undang-undang sivil, contohnya perpisahan walaupun seorang daripada pasangan telah memeluk Islam.

“MCA berpandangan keputusan Kabinet digunakan dalam kes-kes seumpamanya walaupun pertikaian perkahwinan sivil belum selesai,” katanya.

Gan berkata, arahan Kabinet yang sama perlu dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama negeri-negeri bagi mengelakkan sebarang percanggahan terhadap kesepakatan yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin dalam Kabinet.

Hakikatnya, arahan Kabinet sedemikian mesti terus disepadukan menerusi pembaharuan perundangan atau meluluskan Akta Parlimen atau meminda Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Ini, katanya akan mengelakkan kekeliruan apabila keretakkan rumah tangga berlaku tanpa penyelesaian yang memuaskan dan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan di mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan dan menentukan agama anak-anak.

Sementara itu, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) turut menyambut baik keputusan Kabinet mengenai agama anak-anak.

Presidennya Datuk A. Vaithilingam, yang juga presiden Hindu Sangam Malaysia, berkata keputusan mengenai pegangan agama anak-anak mestilah seiring dengan agama yang dianuti semasa perkahwinan kedua-dua ibu bapa, adalah satu langkah bijak dan permulaan yang baik bagi menyelesaikan pertikaian antara pasangan.

“Kami terbuka untuk lebih banyak perbincangan mengenai penukaran agama seseorang bukan Islam kepada Islam,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata persatuan itu mengharapkan lebih banyak perbincangan dan dialog dengan pemimpin-pemimpin Islam mengenai perkara itu.

“Bagi MCCBCHST, kami sedang di dalam proses memohon mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan kami memuji mereka kerana segera menangani perkara ini,” katanya. BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: