Xian Nian Hao

Perutusan Tahun Baru Cina 2009

Tahun Baru sudah menjelma.

Masyarakat Tiong Hua merayakannya tahun ini, setelah berlakunya beberapa rentetan peristiwa dan dalam suasana ekonomi global yang tidak memberangsangkan.

Pilihanraya umum 8 Mac 2008 telah menyaksikan pencorakkan pengundian yang jauh berbeza dari keputusan yang diperolehi pada tahun 2004.   Parlimen Malaysia kini meriah dengan adanya 82 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.   Sepuluh daripada Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat adalah wanita.   Kesemua mereka menjaga penjuru masing-masing dalam Dewan Rakyat demi kepentingan rakyat jelata.   Kemenangan juga diraih dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Terima kasih, rakyat Malaysia, khususnya para pengundi Tiong Hua kerana memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat.

Proses transisi transformasi di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat akan memerlukan sedikit masa. Rakyat juga berperanan dalam memberi maklumbalas terhadap jentera kerajaan-kerajaan negeri dalam rangka memastikan keseluruhan jentera kerajaan mencapai wawasan, misi dan piagam pelanggannya.Terlalu banyak yang perlu diperbetulkan mengenai warisan yang ditinggalkan oleh kerajaan negeri Umno-BN yang lalu, khususnya di negeri Selangor.Pengurusan ekonomi yang lebih telus dan berorientasikan rakyat sepenuhnya sedang dibibitkan agar menjadi budaya di kalangan seluruh jentera dan kakitangan kerajaan negeri, khususnya negeri Selangor Darul Ehsan.

Wanita Malaysia membentuk kira-kira 50% bilangan populasi Malaysia.   Sungguhpun tercatat wanita Malaysia tidak mengalami terlalu banyak permasalahan dalam peluang-peluang ekonomi, pendidikan dan keperluan perkhidmatan kesihatan, masih banyak ruang untuk diperbaiki, terutamanya dalam proses membuat keputusan di berbagai aras. Penglibatan wanita dalam menentukan sesuatu keputusan adalah sebahagian dari perlaksanaan sistem demokrasi. Setelah lebih 20 tahun Dasar Wanita Negara wujud, aspek itu masih belum memenuhi peratus yang dikehendaki. Ahli-Ahli Parlimen wanita masih terlalu rendah bilangannnya, dan bilangan Menteri dalam kabinet kerajaan makin merosot dari masa ke semasa sehingga kini. Status sedemikian perlu diperbaiki agar 50% penduduk Malaysia diwakili dengan baik dan dapat pula difahami dan dijamin kebajikan dan keperluan hakiki mereka dengan baik.

Tahun 2009 telah dibuka tirainya dengan kematian ribuan wanita dan anak-anak Palestin di bumi Gaza. Di beritakan bahawa anak-anak telah ditembak mati dari jarak dekat – suatu kezaliman yang tidak dapat diungkapkan hanya dengan kata-kata. Bilakah unsur-unsur ganas, kehaiwanan ini akan berakhir? Kelesuan dan kebisuan negara Islam, khususnya yang berbangsa Arab, ketika dan selepas Gaza diganyang oleh Zionis Israel, menambah sebak di dada. Sikap kerajaan Mesir yang tidak membuka sempadan bersama Gaza telah dengan sengaja membiarkan rakyat Palestin di Gaza terkepung dan terdedah dengan kezaliman Zionis-Israel secara semberono hati; kazaliman yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah dunia dan kemanusiaannya (sila lihat teks perbahasan Ketua Wanita KeADILan menerusi Parlimen Ampang di Sidang Khas Parlimen 12 Januari lalu, selepas teks perutusan ini).

Wanita KeADILan telah dan akan terus mewarnai perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Dalam perkembangan politik domestik, Wanita keADILan akan terus menjana dan melatih serta menyediakan takungan pemimpin wanita yang bersedia menggarap dan melaksanakan tuntutan reformasi pentadbiran negara. Keadilan yang merata, tanpa mengira parti politik, ras dan agama, adalah menjadi ciri perjuangan.

Dalam kesempatan perutusan Tahun Baru ini, Wanita Malaysia diseru untuk memainkan peranan mereka secara kolektif, bertujuan memberi impak yang berkesan dalam memenuhi berbagai agenda rakyat yang berunsurkan perspektif gender.

Kepada seluruh warga Tiong Hua, Selamat Menyambut Tahun Baru, Gōngxǐ fācái, Xian Nian Hao.

Zuraida Kamaruddin

Ketua Wanita

Parti Keadilan Rakyat

26 Januari 2009

————————————————————————————–

Berikut adalah teks untuk perbahasan di Sidang Khas Parlimen mengenai konflik Israel-Palestin 12 Jan lalu:


Dengan izin, Tan Sri yang di-Pertua,

“Remember the solidarity shown to Palestine here and everywhere… and remember also that there is a cause to which many people have committed themselves, difficulties and terrible obstacles notwithstanding. Why? Because it is a just cause, a noble ideal, a moral quest for equality and human rights.”

–Prof. Edward W. Said (1935-2003)

Seorang ibu menangis tiada henti, meratapi kematian tiga orang anaknya yang menjadi mangsa pengeboman Gaza pada Sabtu, 27 Disember 2008 lalu.

Keganasan Israel itu telah mengorbankan dengan serta-merta 230 kematian dengan kira-kira 800 lagi cedera parah. Pengeboman bertalu-talu selama sepuluh minit itu telah dirancang untuk menghasilkan kerosakkan dan kematian yang maksimum. Bom-bom telah dilepaskan di kawasan-kawasan yang padat penduduk, dikala rakyat Gaza sedang sibuk mengurus tugasan harian mereka, anak-anak dalam perjalanan kembali dari sekolah dan ke kelas-kelas waktu petang, pejabat pula penuh dengan para pekerja dan orang ramai memenuhi jalanan kerana sesuatu keperluan.

Satu setengah juta rakyat di Gaza telah diperdayakan oleh Israel sehari sebelum keganasan itu berlaku dengan pembukaan laluan ke kawasan Gaza yang membawa masuk bantuan kemanusiaan setelah Gaza dikepong dan penduduk Gaza hampir kebuluran, seolah-olah keamanan akan berterusan buat beberapa lama lagi.

Setelah pengeboman yang pertama, Gaza menerima padah yang lebih hebat dari jet-jet pejuang F-16, helikopter yang membawa senjata dan bom, kereta kebal, kenderaan bersenjata buatan Amerika yang sehingga kini mencatatkan hampir 2000 kematian dan beribu-ribu lagi cedera parah. Beribu-ribu mayat bergelimpangan di jalanan dengan anggota-anggota badan yang entah ke mana.

Gambaran yang menyayat hati ini tidak akan lenyap kerana konflik Palestine-Israel telah berlarutan lebih lima dekad dan tiada nampak penyelesaiannya. Jelas sudah bahawa Israel akan berkeras sehingga seluruh Palestine dikuasai di bawah telunjuk Israel.

Lebih parah bila Palestine tiada sokongan yang benar-benar boleh membela Palestine. Negara-negara Arab yang utama dan OIC berdiam diri, hanya melihat segalanya – bisu, pekak dan buta, seperti kenyataan Dr Syed Ali Tawfik al-Attas, Pengarah IKIM .

Tidak perlulah mempertikaikan sangat soal Presiden Obama yang juga membisu dan tidak mendengar jeritan rakyat Palestine yang tersiksa dan teraniaya kerana bangsa Arab dan sebahagian umat Islam juga bersikap seperti Presiden Obama dalam isu pengeboman Israel ke atas Gaza.

Apa yang sedang dan akan berterusan berlaku adalah usaha yang tiada henti Israel untuk menguasai seluruh kawasan yang dahulunya Palestin.

Dalam mempertahankan kedudukan masing-masing, oleh Zionis Israel dan Palestine , terlalu ramai nyawa yang telah terkorban dan akan terkorban – nyawa-nyawa manusia tidak ada nilainya sama sekali dalam percaturan politik dalam konflik Palestin-Israel. Itu adalah pertanda kemusnahan terhadap nilai-nilai kemanusiaan yang harus dipegang utuh oleh mana-mana pemimpin di dunia ini dalam usaha menyelamatkan umat manusia, nyawa, keturunan, dan harta-benda mereka.

Keadaan sebenarnya sudah tidak terkawal kerana tiada yang ingin mengawalnya.

Perkiraan politik dalam konflik Israel-Palestin telah melenyapkan rasa belas kasihan kepada anak-anak dan mereka yang lemah; kapal dan kapalterbang perang sewenangnya memusnahkan tempat-tempat awam, hospital, sekolah, masjid, kediaman dan melumpuhkan kemudahan bekalan air dan letrik.

Dengan izin Tan Sri Yg di-Pertua, it is the death of humanity. Terbungkamnya kemanusiaan, bila kehebatan teknologi dan ketenteraan satu bangsa digunakan untuk melumpuhkan segala keupayaan bangsa lain yang ternyata lemah. Dan keadaan sedemikian hanya ditonton tanpa bicara dan tiada tindakan sepakat yang segera untuk memberhentikankannya oleh mereka yang berkuasa di dunia ini.

Tan Sri Yang di-Pertua, apakah yang boleh dibuat oleh Malaysia ?

Apakah yang belum dibuat oleh negara-negara di dunia sebelum ini untuk mencari jalan penyelesaian konflik Israel-Palestine ini?

Segala keganasan yang dirakamkan adalah seperti ritual yang akan berlaku berulangkali di masa-masa mendatang.

Apakah daya masyarakat dunia untuk menundukkan kezaliman yang ditunjukkan oleh Israel ke atas Gaza yang lemah? Dengan izin, The Arab and international responses to the killings can only serve as a reminder of how ineffectual and irrelevant, if not complacent their timid mutterings are, kata-kata dari Ramzy Baroud, penulis dan editor PalestineChronicle.com. Yang sangat menghairankan lagi ialah bila Penguasa Palestin, President Mahmoud Abbas, telah menyalahkan Hamas di atas keganasan Israel, kerana tidak menepati perjanjian gencatan senjata! Tidakkah dia tahu bahawa Hamas telah memberhentikan dengan izin, suicide bombing sejak 2005? Dan Israel pula tidak mengendahkan langsung kerjasama yang diperlukan dalam membawa masuk bahan-bahan keperluan, makanan dan perubatan kepada rakyat Gaza sehingga mereka mengalami kekurangan bahan-bahan tersebut? Dan Israel juga telah melancarkan serangan di awal Disember, bertindak di atas alasan bahawa mereka menerima maklumat mengenai kononnya, ada misi rahsia Hamas?

Tan Sri Yang di-Pertua

Sekali lagi apakah yang boleh dibuat oleh Malaysia?

Kedegilan Israel dengan disokong oleh AS dan kuncu-kuncu mereka akan melebarkan dan memastikan kesinambungan keganasan dan perlanggaran terhadap Hak-Hak Asasi Manusia dan Konvensyen-Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu dalam konflik Israel-Palestin.

Begitu juga tiada apa-apa yang konkrit yang boleh diharapkan dari negara-negara Arab dan OIC.

Malaysia wajar memimpin, sebagai sebuah negara Islam, proses menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Cadangan menwujudkan blog anti-Zionis perlu diwujudkan segera haruslah diambil serius. Malaysia wajar segera merapati dan menggabungkan negara-negara yang vokal dalam hal soverignty dan Hak Asasi Manusia seperti Venuezuela, Indonesia, Turki, Thailand dan lain-lain dalam usaha mewujudakan blog anti-Zionis itu.

Negara China dan Rusia juga seharusnya segera diajak bersama.

Malaysia harus berada dengan izin, di frontline memberi penekanan politik di peringkat antarabangsa dan dengfan izin, regional dalam menangani konflik Israel-Palestin.

Malaysia boleh juga memainkan peranan menggabungkan badan-badan bukan kerajaan seluruh dunia yang menentang kezaliman Israel.

Pemboikotan barangan Amerika oleh gabungan anti-Zionis dikala negara itu sedang mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk akan memberi kesan yang hebat dalam memberi tekanan terhadap AS untuk lebih adil dan tidak tunduk kepada dengan izin, lobby Israel.

Tumpuan ekonomi dan hubungan dagangan pula dialihkan kepada pakatan lain seperti European Union.

Rakyat Malaysia tentunya menyokong usaha yang sudah sekian lama tertunda ini.

Apa yang diperlukan sekarang ialah kesanggupan politik untuk melaksanakannya.

Zuraida Kamaruddin
Ahli Parlimen Ampang
(merangkap Ketua Wanita KeADILan)
12 Januari 2009

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: