KENYATAAN MEDIA WANITA PARTI KEADILAN RAKYAT SELANGOR

Untuk hebahan semerta:

20 Disember 2008
KENYATAAN MEDIA WANITA PARTI KEADILAN RAKYAT SELANGOR
REFORMASI dalam Lanskap Sosial Negara
 
Wanita Parti Keadilan Rakyat Selangor mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri Selangor menerusi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Selangor, yang telah mengambil langkah menyusun dan menggerakkan semula Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC – One Stop Crisis Centre) di Negeri Selangor.
 
Sungguhpun OSCC pertama sudah diwujudkan seawal 1986, namun peranannya sejak penubuhan sangat terhad dan telah tidak dioptimakan. Ketidaksungguhan kerajaan negeri yang lepas telah memperkecilkan skop dan peranan yang boleh dimainkan oleh OSCC dalam menangani kes-kes penderaan seksual.

Penyusunan semula OSCC wajar memberi perkhidmatan yang ada nilai tambah bukan sekadar penerusan perkhidmatan yang sedia ada, agar OSCC memberi perkhidmatan yang terbaik dan meningkatkan usaha pencegahan jenayah seksual.  
 
Dalam kerajaan menghadapi insiden keganasan rumahtangga, penderaan dan jenayah seksual yang semakin meningkat, keperluan OSCC amatlah mendesak. Sistem sokongan seperti OSCC amat membantu mangsa-mangsa dari sudut emosi, seksual, dan fizikal.

Statistik pihak keselamatan mencatat kira-kira tujuh hingga lapan wanita dirogol atau dicabul kehormatannya setiap hari. Purata, seratus orang kanak-kanak di dera dengan pelbagai cara dan tujuh didera secara seksual setiap hari. 52% daripada mangsa rogol adalah mereka yang berumur kurang dari 15 tahun dan 80% daripada mangsa rogol mengenali perogol mereka.  
Kes-kes rogol telah meningkat hampir 100%, di mana jumlah kes rogol terbabit pada tahun 2001 ialah 1217 dan di tahun 2006 telah meningkat sehingga 2341 kes. Kebiasaannya kes-kes yang tidak dilaporkan adalah lebih daripada yang dilaporkan.

Kesemua statistik tersebut menunjuk kepada gejala sosial yang meningkat, yang perlu ditangani secara bersepadu, di antara kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan. Ia memerlukan tumpuan yang khusus dan berterusan serta ketelusan dalam melihat perubahan atau reformasi dalam lanskap sosial negara. Ia menuntut suatu budaya pemikiran dan budaya kerja yang melihat seluruh Rakyat Malaysia menjangkau fahaman politik yang mereka dokongi. Kepentingan politik mesti dikesampingkan demi Rakyat.

Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Parti Keadilan Rakyat yang melambangkan keadilan sejagat semestinya mendokong politik non-partisan dalam merealisasikan reformasi lanskap sosial negara.
  
Wanita KeADILan Negeri Selangor juga telah dan akan terus terlibat sama dalam usaha-usaha ‘outreach’ kepada masyarakat menerangkan perkhidmatan yang disediakan oleh OSCC khususnya dan menjayakan agenda lanskap sosial Kerajaan negeri Selangor amnya.
 
 
Haniza Talha
Ketua Wanita
Parti Keadilan Rakyat Negeri Selangor

Leave a comment