Keadilan Online:Tiga usul Wanita lulus tanpa bahas

Isnin, 1 Disember 2008 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, Hak Asasi, Kongres 2008, Liputan Khas, Wanita

Oleh: Edi Suleiman

SHAH ALAM: Kongres Wanita Keadilan ke 5 pada 28 November lalu menyaksikan tiga usul utama diluluskan tanpa bahas untuk dibentangkan dalam Kongres Nasional Tahunan pada 29 November lalu.

Kongres berkenaan yang dihadiri lebih 600 perwakilan dan pemerhati sebulat suara menerima ketiga-tiga usul yang mmenyentuh mengenai Kuota 30 peratus pembabitan wanita di peringkat tertinggi parti, kebebasan ekonomi untuk wanita Malaysia dan pembentukan Majlis Permuafakatan Wanita Pakatan Rakyat.

Naib Ketua Wanita, Haniza Mohd Talha mahu Majlis Pemimpin Tertinggi KeADILan menunjukkan komitmen setelah meluluskan usul 30 peratus penglibatan wanita dalam semua peringkat pembuat dasar menjelang 2010.

Menurutnya, sayap wanita mahu mewujudkan sekurang-kurangnya 30 peratus pembabitan wanita dalam jawatan tertinggi parti termasuk di perhubungan negeri dan cawangan.

“Kami juga mahu prinsip kesaksamaan dalam struktur kuasa yang diterajui kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat diamalkan hingga ke tahap kementerian-kementerian termasuk lantikan menteri dan timbalan menteri di peringkat pusat. Perwakilan wanita dalam parti politik memerlukan langkah alternatif bagi mempercepatkan proses kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta ia perlu dimulakan dalam struktur politik hingga seterusnya dalam kerajaan,” katanya lagi.

Beliau menambah , Artikel 4 daripada Convention On The Elimination Of All Forms Of Discrimination Against Women (CEDAW) dengan jelas menyatakan bahawa kuota  sebagai ‘ langkah sementara bertujuan meempercepatkan kesaksamaan de facto antara wanita dan lelaki dan tidak dikira sebagai diskriminasi…’.

“Dengan itu, adalah tepat bagi parti menggunakan kuota sebagai tindakan afirmatif bertujuan memastikan perwakilan wanita dalam kepimpinan parti seimbang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Wanita, Rodziah Ismail mengemukakan usul pembentukan Majlis Permuafakatan Wanita Pakatan Rakyat bagi memperjuangkan isu-isu wanita.

Beliau menambah usaha pembentukan itu seharusnya dilaksanakan terlebih dahulu dalam kepimpinan kerajaan negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat “Kami mencadangkan menjadikan negeri Selangor ke depan dalam memimpin dan mengungguli isu-isu wanita melalui majlis ini.

Usaha ini juga kemudiannya mesti diteruskan di kesemua lima buah negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat supaya ianya menjadi agenda merubah iklim pembangunan dan memberdayakan wanita Malaysia,” katanya ketika membentangkan usul tersebut.

Katanya lagi, wanita adalah aset penting negara yang jika digembleng secara efektif akan menghasilkan lonjakan dalam pembangunan sosio-politik dan ekonomi negara.

Sehubungan itu, tambah beliau, pemimpin-pemimpin wanita dan juga kepimimpinan kerajaan Pakatan Rakyat mestilah proaktif dalam mendepani isu-isu wanita di semua peringkat.

Sebelum itu, Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamaruddin dalam ucapan dasarnya turut membangkitkan isu yang sama bagi memastikan penganiayaan, ketidak adilan dan diskriminasi terhadap golongan wanita dapat dibendung.

Wanita KeADILan digesa pecah dominasi lelaki dalam politik

Isnin, 1 Disember 2008 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, Hak Asasi, Kongres 2008, Liputan Khas, Wanita

SHAH ALAM: Wanita Keadilan mesti cekal dan sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan cabaran dunia politik arus perdana jika mahu menempatkan martabat mereka setanding dengan kaum lelaki di samping memecahkan dominasi kaum terbabit.

Pembabitan serius kaum wanita menyertai arena politik yang umumnya dianggap hanya sesuai bagi kaum lelaki sangat penting bagi membuktikan kepada kepimpinan parti bahawa wanita mampu dan bersedia memikul tanggungjawab demi memperjuangkan agenda perjuangan parti.

Begitu pendapat yang diutarakan oleh ahli Exco Wanita, Elizabeth Wong dalam forum Bicara Bersama Wakil Rakyat Wanita KeADILan pada malam 28 November lalu.
Elizabeth, yang juga memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor, berkata pemikiran stereotaip bahawa golongan lelaki mesti menjadi ketua bagi sesuatu kepimpinan perlu diubah jika mahu melihat perubahan pentadbiran parti itu.

“Kita perlu menghapuskan amalan pemikiran stereotaip sedemikian, jika tidak kita sebagai Wanita dalam KeADILan tidak akan mempunyai hala tuju dan apa yang kita rancang serta laksanakan sekarang adalah langkah permulaan yang baik untuk masuk dalam gelanggang politik.

Wanita perlu buktikan pada masa akan datang bahawa mereka sudah tidak perlukan kuota 30 peratus seperti yang dikehendaki tapi buat masa ini kita masih memerlukannya,” katanya lagi.

Beliau menambah latihan dan kursus peningkatan diri wanita seperti latihan kepimpinan dan komunikasi perlu sentiasa diterapkan terutamanya bagi wanita di luar bandar yang dilihat agak sukar untuk mengakses kepada perkembangan-perkembangan terkini.

Bekas wartawan dan personaliti tv dari arus perdana, Tengku Elida Tengku Bustaman menjadi pengantara bagi forum anjuran Wanita KeADILan itu sempena melengkapi program Kongres kelima sayap KeADILan.

Kesemua tujuh wakil rakyat wanita KeADILan menyertai forum berkenaan iaitu ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar manakala di peringkat negeri pula, Ahli Dewan Undangan Negeri

(ADUN) Bukit Lanjan, Elizibeth Wong, ADUN Taman Medan, Haniza Mohd Talha, ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail dan ADUN Rawang, Gan Pei Nei.

Forum berkenaan telah dihadir oleh kira-kira 400 perwakilan yang juga telah diberi peluang untuk mengemukakan soalan berkaitan peranan, cabaran serta visi wakil-wakil rakyat wanita KeADILan kepada ahli-ahli panel terbabit.

Dalam pada itu, Zuraida yang juga Ketua Wanita KeADILan berpendapat semangat integriti perlu menjadi amalan seharian terutamanya bagi ahli-ahli politik kerana nilai dan kepimpinan seseorang itu sentiasa menjadi ukuran.

Menurutnya, integriti seseorang itu perlu terutamanya bagi memastikan tidak berlaku sebarang budaya ataupun amalan salahlaku seperti rasuah, terlibat dengan skandal seks dan aktiviti tidak bermoral yang lain.

“Jangan diingat soal skandal seks ini hanya peringatan untuk orang lelaki…orang perempuan pun ada, kita orang perempuan juga harus hati-hati dan elak daripada berlaku,” katanya lagi.

Dalam pada itu ,Nurul Izzah pula menggesa pihak pentadbiran kerajaan di semua peringkat terutamanya bagi negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat supaya sentiasa mengamalkan sifat integriti dan akauntabiliti.

Menurutnya, soal itu penting terutamanya bagi menguruskan dana kewangan kerana wakil-wakil rakyat memerlukan pengurusan sumber yang jelas dan terpeinci bagi mengelakkan salah guna kuasa dan politik wang.

“Bila sebut mengenai integriti, saya hanya ingatkan soal politik wang yang menular dalam Umno dan BN hingga rakyat melihat melaluinya peluang untuk mereka untuk mendapatkan projek,” katanya.

Nurul Izzah berkata, pemantauan yang berkesan perlu dilaksanakan secara berterusan agar setiap peruntukan yang dibelanjakan dapat diketahui dengan jelas.

“Kita perlu memastikan soal integrii kekal dengan imej kita, bukan sahaja dalam KeADILan malah PAS dan DAP.

“Melaksanakan pentadbiran dengan peruntukan kewangan yang sedikit memang sesuatu yang sukar, tapi itu adalah sebagai cabaran kerana dengan wang yang sedikit akan mengingatkan kita dengan integriti serta menghindari dengan politik wang dan rasuah,” katanya.

Mantan Ketua Wanita KeADILan, yang juga Ahli Parlimen Kuanta pula berpendapat wanita negara ini tidak diberikan peranan yang strategik dalam pentadbiran selama separuh abad sejak kemerdekaan menyebabkan mereka sering dilihat kebelakang dalam masyarakat dan politik Malaysia.

“Kelemahan peranan wanita ini disokong oleh persepsi masyarakat yang terperangkap dengan kerangka pemikiran lama seperti ditanamkan oleh Wanita Umno selama tempoh tersebut. Wanita KeADILan tidak sama dengan wanita Umno kerana mereka mahu berperanan di peringkat arus perdana dan bukan penyokong sahaja,” katanya lagi.

Beliau menambah wanita tidak boleh membiarkan perkara sedemikian berterusan dan mereka seharusnya memecah tembok minda berkenaan dalam mempelopori perubahan dan berada di barisan hadapan di dalam membawa perubahan yang diaspirasikan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: