Kongres Nasional Wanita KeADILan 2008

BULETIN

KONGRES NASIONAL WANITA KeADILan 2008

Shah Alam, 28 November 2008,

Kongress Nasional Wanita Parti KeADILan telah sempurna dilaksanakan pada 28 hb. November 2006. Perasmian bersama Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat telah berlangsung di sebelah pagi dengan kehadiran perwakilan dan pemerhati seramai lebih 2000 ribu orang. Timbalan Presiden, Syed Husin Ali, telah merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda serentak di Stadium Melawati, Shah Alam.

Kongres Nasional Wanita 2008 telah diteruskan di Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Shah Alam. Ia dimulai dengan ucapan Setiausaha Wanita, Hariyati Ahmad, disusuli dengan ucapan dasar Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat yang membawa tema ”Wanita Berdaya, Harapan Negara”. Tema tersebut menjadi inspirasi dan motivasi kearah kesinambungan memenuhi tuntutan kepimpinan yang telus, tulus dan adil.

Ia mencernakan kefahaman, kesungguhan dan komitmen

Wanita KeADILan dalam menggarap cabaran, dan tanggungjawab membawa perubahan terhadap lanskap politik Malaysia.

Dalam rangka mencapai hasrat tersebut, strategi menyediakan takungan barisan pelapis dari golongan wanita muda akan diberi tumpuan utama.

Wanita KeADILan membuka ruang seluasnya bagi golongan ini mengisi barisan kepimpinan dalam sayap wanita sebagai persediaan jangka panjang.

Kongres Nasional Wanita KeADILan 2008 telah membawa tiga usul:

1. Usul Kebebasan Ekonomi untuk Wanita Malaysia

2. Usul Mewujudkan Majlis Permuafakatan Wanita

Pakatan Rakyat

3. Usul 30% Perwakilan Wanita di Semua

Peringkat Pembuat Dasar

Kesemua usul tersebut telah dibentangkan tanpa bahas dan mendapat sokongan sebulat suara oleh ahli-ahli Kongres yang bersidang.

Dua dari usul-usul tersebut, Usul Kebebasan Ekonomi untuk Wanita Malaysia dan Usul 30% Perwakilan Wanita di Semua Peringkat Pembuat Dasar akan diangkat pula ke Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat yang akan mula bersidang 29-30 November 2008.

Di sebelah malam, Pentas Wanita yang menggabungkan tujuh wakil rakyat wanita (Elizabeth Wong, Fuziah Salleh, Gan Pei Nei, Haniza Talha, Nurul Izzah, Rodziah Ismail, Zuraidah Kamaruddin) telah menjayakan acara hard talk yang telah membicarakan tentang mengarusperdanakan penglibatan wanita dalam arena politik.

Disediakan oleh Biro Penerangan Wanita KeADILan

https://wanitakeadilan.wordpress.com email: wanitakeadilan@yahoo.com

Kongres Wanita 2008: Harapan Baru

Zuraida Kamaruddin: Kenyataan Media

PARTI KEADILAN RAKYAT

PEJABAT WANITA KEADILAN PUSAT

A-1-09, Merchant Square

No.1, Jalan Tropicana Selatan 1, 47410 Petaling Jaya, Selangor

Telefon: 03-7885 0530    Faks: 03-7885 0531
 
KENYATAAN MEDIA
 

23 November 2008

Wanita Berdaya, Harapan Negara

Selamat datang ke Kongres Nasional Wanita Parti Keadilan Rakyat yang ke-5, 2008!

Kongres Nasional Wanita Parti Keadilan Rakyat yang ke-5, 2008 merupakan juga detik meraikan kemenangan julung kalinya Pakatan Rakyat selepas pilihanraya umum ke-12 lalu. Di negeri Selangor. harapan rakyat untuk melihat negeri termaju di Malaysia ini sebagai pemerintahan contoh – pemerintahan yang telus, tulus dan adil – perlulah dipenuhi. Sebagai sayap kanan parti, Wanita KeADILan akan bersama-sama menggalas tanggungjawab menjayakan aspirasi tersebut.

Takungan unsur-unsur yang berwibawa dan non-partisan dalam konteks memperkasa dan memenuhi agenda kepentingan rakyat perlu dititikberatkan. Sesuai dengan tema ucapan dasar Ketua Wanita kali ini,Wanita Berdaya, Harapan Negara, Wanita KeADILan akan menggembling usaha untuk mewujudkan takungan tersebut, khususnya dari kalangan wanita yang berumur 40 tahun ke bawah.

Agenda politik baru yang memberdaya wanita akan diperluas dan diberi tumpuan. Usul-usul yang berkaitan akan diutarakan di Kongres Nasional Wanita Parti Keadilan Rakyat ke-5 dan di Kongres Nasional 2008 ini.

Acara perasmiaan bersama Angkatan Muda KeADILan dan keseluruhan persiapan Kongres Nasional Wanita KeADILan ke-5, pada 28 November ini berjalan lancar. Bahagian-bahagian wanita yang telah mengadakan mesyuarat tahunan meningkat berbanding tahun lepas – dari 109 kepada 125 Bahagian. Kesemua Mesyuarat Agung Wanita Bahagian telah dipantau, sama ada oleh wakil-wakil perhubungan negeri atau wakil-wakil peringkat pusat Parti Keadilan Rakyat. Jumlah perwakilan dan pemerhati tahun ini ialah 1042 orang.

Wanita KeADILan percaya bahawa sokongan rakyat dalam menghendaki perubahan terhadap pemerintahan negara amatlah dinanti-nantikan.

Justru, Kongres Nasional Wanita keADILan kali ini pasti diselubungi oleh Harapan Baru bagi masa depan landskap politik tanahair.

Wanita KeADILan, dengan segala kesungguhan dan keazaman akan bersama-sama parti dan rakyat ke arah mencorak dan membina landskap politik baru ini.

Zuraida Kamaruddin

Ketua Wanita

Parti Keadilan Rakyat

Wanita KeADILan

Wanita KeADILan adalah singkatan kepada Wanita Parti Keadilan Rakyat. Ia menjadi sayap rasmi kepada Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pada tahun 2003. Wanita KeADILan kini dipimpin oleh YB Pn Hajah Zuraidah Kamaruddin.