KENYATAAN MEDIA-PENGUNDIAN AWAL : SATU LAGI HELAH SPR

Tarikh : 25 Januari 2010 

PENGUNDIAN AWAL : SATU LAGI HELAH SPR 

Wanita KEADILAN memandang serius kenyataan Timbalan Pengerusi SPR bahawa SPR sedang mengkaji untuk melaksanakan pengundian awal (advance voting) bukan sahaja kepada anggota keselamatan tetapi juga meliputi doktor, jururawat, pemberita, juruterbang dan kakitangan penerbangan (stewards). Adakah ini jawapan SPR kepada kontroversi Undi Pos yang mengalami krisis kewibawaan akibat Daftar Pemilih yang tidak diyakini bersih, proses pengundian yang tidak telus dan undi yang tidak rahsia?

Bila pula terdapat laporan bahawa golongan pekerja ini menghadapi kesulitan untuk membuang undi sebelum ini sehingga SPR mengambil langkah yang sebegitu penting ini sebagai persediaan ke arah Pilihan Raya Umum Ke-13? Atau tindakan ini diambil berdasarkan ’khabar angin’ semata-mata sama seperti keputusan SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal di saat-saat akhir dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 lepas?

Sehingga kini, SPR masih membisu apabila Menteri Dalam Negeri mengesahkan bahawa SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lepas dengan hanya bersandarkan ’khabar angin’ dan bukan atas sebab-sebab keselamatan.

SPR sepatutnya berusaha untuk meningkatkan kewibawaan kepada proses pengundian pilihan raya yang dijalankannya dengan belajar dari pengalaman negara-negara lain tentang proses pilihan raya yang lebih telus dan cekap. Wanita KEADILAN menggesa agar SPR menumpukan usaha ke arah pembersihan Daftar Pemilih dan penguatkuasakan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya akan datang untuk meningkatkan keyakinan orangramai terhadap SPR sebagai badan bebas yang menjalankan pilihan raya.

RODZIAH ISMAIL

Pengarah Biro Pilihan Raya Wanita KEADILAN/Merangkap ADUN Batu Tiga

*Jika ada sebarang pertanyaan sila hubungi Sekretariat Biro Pilihan Raya Wanita KEADILAN; Hasnah Hashim di nombor 019-2436537. Terima kasih.

Konvensyen Kepimpinan Wanita Selangor 2010 – Wanita Berdaya, Harapan Negara – Pemberdayaan Wanita dalam Kepimpinan

Pengerusi Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Sains, Teknologi, & Inovasi dan Kebudayaan, PUAN RODZIAH ISMAIL

KONVENSYEN KEPIMPINAN WANITA NEGERI SELANGOR 2010

Kerajaan Negeri Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita akan mengadakan Konvensyen Kepimpinan Wanita Negeri Selangor 2010 yang pertama pada 23 Januari 2010 di Kompleks Belia & Kebudayaan, Seksyen 7, Shah Alam bermula jam 9.00 pagi hingga 1.30 tengahari. 

Motto Konvensyen ialah : Melonjakkan kepimpinan wanita Selangor ke arah pembangunan masyarakat madani. 

Menyedari bahawa Selangor adalah sebuah negeri yang mempunyai wanita teramai dan negeri yang paling kaya di Malaysia yang telah dibina infrastruktur yang baik untuk melonjakkan bidang-bidang pembangunan di negeri Selangor, maka Kerajaan negeri Selangor adalah juga bersedia untuk memberi impetus dan kepentingan terhadap dasar untuk meletakkan kepimpinan wanita sebagai sebahagian dari perlaksanaan misi ke arah pembentukan masyarakat madani.  

Antara ciri-ciri masyarakat madani:

Menjamin keadilan untuk semua

  • Menjunjung prinsip-prinsip perlembagaan
  • Mengukuhkan institusi kehakiman
  • Mengangkat darjat kemuliaan insan, kebebasan dan haknya

Penglibatan wanita dalam proses membuat dan menghasilkan keputusan-keputusan yang mengesani hampir 50% penduduk di negeri Selangor adalah sesuatu yang wajar dan menyumbang secara positif terhahap kualiti keputusan yang diambil dalam mencapai hasrat pembentukan sebuah masyarakat madani.

KONVENSYEN Kepimpinan Wanita Selangor ingin mencapai objektif-objektif berikut:

  1. Pemantapan kepimpinan wanita melalui perkongsian halatuju negeri dan pengisisan peranan di dalam masyarakat
  2. Membangun potensi dan memberdaya wanita dari pelbagai lapisan masyarakat dan dalam semua sektor sebagai agen perubahan kepada masyarakat serta penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara 
  3. Membangkitkan kesedaran, kepekaan dan kefahaman semua pihak mengenai isu dan kedudukan wanita 
  4. Memberi panduan dan tuju hala dalam segala usaha perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan negara semoga kepentingan dan penyertaan wanita tidak terabai, baik sebagai sasaran mahupun sebagai agen-agen pembangunan masyarakat harmoni dan seimbang. 
  5. Membantu kearah penyertaan dan penglibatan aktif bersama kaum wanita dan lelaki dalam proses pembangunan dan pembuat keputusaan baik di peringkat perancangan, mahupun di peringkat pelaksanaan dan penilaian impaknya.

KANDUNGAN PROGRAM  

Perasmian :         Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Khalid Ibrahim

Penampilan Khas: Menghargai Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail, selaku penerima Anugerah Umar Ibnu al-Khattab

Pelancaran Laman Web Wanita

Pembentangan : 1. Kepimpinan Wanita – Suatu Tuntutan –    YB Saari Sungib

2. Analisa Status Wanita Selangor –    Dr Jariah Masud

 Forum :                    Pemberdayaan Wanita dalam Kepimpinan Di Negeri Selangor 

Panel:       YB Haniza Talha

            YB Zuraida Kamaruddin

            YB Saari Sungib

            Dr Irene Fernandez

            Puan Betty Yeoh

 Ucaputama Konvensyen:     YB Rodziah Ismail

Seramai 1500 orang peserta dijangka hadir yang terdiri daripada pemimpin wanita  dari pelbagai sektor – awam, swasta dan NGO – di pelbagai bidang dan arena di semua peringkat kepimpinan.

PROGRAM TENTATIF 

0900 Pendaftaran
0930

0935

0945

0955

1015

Pembukaan

Bacaan Al Quran

Ucapan Aluan oleh YB Rodziah Ismail

Ucapan Perasmian YAB Dato’ Menteri Besar Selangor,

Dato’ Seri Khalid Ibrahim

Penampilan Khas: Merhargai Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail, penerima Anugerah Umar Ibnu Al-Khattab

1030 Rehat
1045

1145

Pembentangan:

1. Kepimpinan Wanita – Satu Tuntutan – YB Saari Sungib

2. Analisa Status Wanita Selangor – Dr Jariah Masud

FORUM:

Pemberdayaan Wanita dalam Kepimpinan – Antara Aspirasi dan Realiti

1245 Ucaptama oleh YB Rodziah Ismail
1315 Makan tengahari dan solat Zuhur

Bersurai

Untuk sebarang pertanyaan mengenai kenyataan media di atas, sila hubungi: Nurshuhadah Hamid, telefon: 019-2391979

 

KERATAN AKHBAR SINAR

KERATAN AKHBAR- WACANA GENDER 2010

KENYATAAN MEDIA-BAYARAN NAFKAH : LAKSANA PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG TERHADAP BEKAS SUAMI

Tarikh : 13 Januari 2010

Wanita KEADILAN menyambut baik pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Jamil Khir Baharom bahawa Kerajaan akan melaksanakan skim pembayaran pendahuluan nafkah kepada isteri-isteri yang telah mendapat perintah nafkah dalam proses perceraian. Walau bagaimanapun; Wanita KEADILAN ingin mengingatkan Datuk Jamil Khir bahawa ini bukanlah penyelesaian bagi ketidak-upayaan Kerajaan menguatkuasakan pembayaran nafkah oleh bekas suami kepada bekas isteri dan anak-anak di bawah jagaan mereka.
 
Bukan setakat itu saja; soalan yang kritikal dari skim ini ialah oleh kerana pendahuluan ini berbentuk pinjaman; maka siapakah yang perlu bayar balik penjaman ini? Bekas suami atau bekas isteri? Apakah tempoh yang diberikan untuk bayar balik pinjaman ini ? Bagaimana jika bekas isteri mengambil masa yang panjang untuk menstabilkan kehidupan? Bagaimana pula jika bekas suami ingkar dan tidak bayar nafkah seperti yang diputuskan oleh mahkamah?
 
Pihak yang akan melaksanakan skim ini hendaklah memperhalusi mekanisma yang cekap dan adil dari segi perlaksanaan agar wanita-wanita yang bercerai dapat meneruskan kehidupan mereka dan anak-anak di bawah jagaan mereka dapat dipelihara kebajikannya di samping wang rakyat tidak habis begitu sahaja melayani karenah birokrasi. Selain dari mengelakkan bekas suami dari mengambail kesempatan dari skim ini untuk menangguhkan bayaran nafkah, pihak-pihak berwajib hendaklah mengambil langkah pro-aktif mendidik masyarakat agar tanggungjawab terhadap anak-anak dan bekas isteri tetap dilaksanakan agar institusi keluarga tetap utuh untuk mengeluarkan anak-anak yang stabil emosinya.
 
Bekas-bekas suami yang ingkar membayar nafkah hendaklah dianggap sebagai penjenayah kerana membiarkan anak-anak dan bekas isteri menderita apabila mereka mengelak dari melaksanakan tanggungjawab kekeluargaan. Penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan untuk menghentikan keperitan bertahun-tahun ini yang diabaikan oleh pihak Kerajaan UMNO/ BN.
  
HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Ketua Wanita KEADILAN
Merangkap Ahli Parlimen Ampang

Himpunan Bantahan Kenaikan Harga Gula

Pada 10 Januari 2010, bertempat di hadapan Ampang Point telah diadakan satu himpunan membantah kenaikan harga gula yang dihadiri oleh barisan pimpinan Wanita PKR, Srikandi serta pimpinan PKR yang lain. Dalam perhimpunan ini, semua Ketua Wanita PKR Negeri  menyampaikan ucapan bantahan mereka mewakili kaum ibu seluruh Malaysia terhadap kenaikan harga barang oleh kerajaan Umno/BN.

Himpunan ini disudahi dengan ucapan oleh Ketua Wanita PKR Pusat yang juga Ahli Parlimen Ampang, YB Zuraida Kamaruddin. Tiada insiden buruk berlaku sepanjang demo ini berlangsung. Kenderaan yang lalu lalang membunyikan hon mereka tanda menyokong bantahan ini diadakan.

WACANA GENDER 2010 – Keadilan Sosial dan Perspektif Gender

Pada 9-10 Januari lepas telah berlangsung Wacana Gender 2010 di Hotel De Palma, Ampang anjuran WIRDA Malaysia. Program selama 2 hari ini telah dihadiri lebih 300 orang peserta yang terdiri daripada Wanita PKR, Anggota MPP PKR, NGO, ADUN dan Ahli Parlimen Malaysia. Perasmian telah disempurnakan oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Teng Chang Kim mewakili MB selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pelbagai isu mengenai pengarus utamaan gender telah dibincangkan dalam wacana ini dan di akhir program, satu resolusi berkenaan Keadilan Sosial dan Perspektif Gender telah diserahkan kepada Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk diserahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Dalam sesi penutup, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan amanat beliau kepada seluruh Wanita Malaysia. Beliau telah menegaskan bahawa akan mengangkat agenda minimum 30% penyertaan wanita dalam semua peringkat pembuat keputusan ini dengan segala keupayaannya.Cabaran sekarang ialah kepada Wanita utk melengkapkan barisan pimpinan di semua peringkat. Min. 30% adalah suatu affirmative action yg perlu digandingkan dengan pendedahan dan program-program latihan dalam melahirkan pemimpin Wanita yang berkualiti.

Wanita Keadilan mengucapkan syabas dan tahniah kepada WIRDA Malaysia yang dipengerusikan oleh YB Zuraida Kamaruddin kerana berjaya menganjurkan satu program yang sangat bermanfaat ini. Juga kepada Pengarah Program, Pn. Rozaini Mohd Rosli serta seluruh tenaga kerja termasuk sekretariat yang bertungkus lumus bagi menjayakan program ini. Diharapkan program sebegini akan diteruskan di masa akan datang bagi merealisasikan pengarus utamaan gender sebagai satu budaya di Malaysia. Syabas dan tahniah!

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.